Pages

Monday 9 December 2013

YA kepada Perlindungan daripada PnD (YES to PnD Protection )

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia


Setelah lama blog ini tidak dimuatkan apa-apa berita dan cerita mengenai saya, hari ini dengan sedikit ruang yang ada saya ingin berkongsi tentang sebuah Kempen yang saya rasmikan pada 6 Disember yang lalu. Kempen tersebut adalah Kempen 'Yes to PnD Protection'. Kempen ini adalah usaha kesedaran ke atas kesan serius penyakit pneumokokal, iaitu sejenis penyakit berbahaya yang lazimnya membawa maut dan kehilangan upaya. Pneumokokal juga merupakan sekumpulan penyakit disebabkan bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak dan saraf tunjang, radang paru-paru (pneumonia) dan otitis media atau jangkitan telinga tengah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penyakit pneumokokal meragut nyawa antara 700,000 hingga sejuta kanak-kanak berusia bawah lima tahun setiap tahun. Di peringkat global, kelaziman penyakit pneumokokal tahunan dianggarkan 14.5 juta kejadian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini.Pendidikan mengenai kaedah pencegahan ini perlu disampaikan kepada semua. Kesan penyakit ini sangat teruk tapi boleh dielak dengan kaedah pencegahan berkesan kepada kanak yang menderita penyakit ini. Tetapi vaksin dan pelalian cara paling berkesan dan menjimatkan kos untuk mengurangkan kadar penyakit dan kematian

Kempen YA kepada Perlindungan daripada PnD (YES to PnD Protection ), yang merupakan satu lagi langkah untuk membolehkan semua kanak-kanak mendapat vaksin pneumokokus supaya dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan sejahtera. Kempen ini merupakan inisiatif bersama Parenting2u, Pakatan Strategik Pencegahan Penyakit Pneumokokal Asia (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysian (MPA).

Kempen bertujuan menyatukan pakar penjagaan kesihatan profesional, ibu bapa dan individu yang prihatin dalam usaha menggesa kerajaan menggandakan usaha meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut.

Saya hadir menyokong kempen ini sebagai seorang Ibu, bukan atas kapasiti jawatan saya atau apa sahaja tetapi sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil. Saya amat faham rasa apabila anak-anak kita dihadapkan dengan penyakit sebegini dan paling merisaukan penyakit tersebut mengancam nyawa. Saya terpanggil untuk bersama-sama dengan Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang merupakan rakan baik saya yang juga Doktor yang merawat anak-anak saya. Beliau merupakan Ahli Pengasas Asian Strategic Alliance for Pneumoccocal Disease Prevention (ASAP) dan Pakar Runding Pediatrik KPJ Damansara.

Bagi saya inisiatif ini akan dapat menyediakan saluran untuk doktor membabitkan penyertaan ibu bapa di samping menerap dan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit pneumokokal. Pada sama ia juga memperkasakan ibu bapa supaya mengambil tindakan untuk melindungi anak-anak mereka daripada penyakit tersebut dan untuk meminta semua kanak-kanak Malaysia diberi vaksin.

Saya amat berharap ibu bapa dapat berbincang dengan doktor mereka dan mengambil langkah yang perlu bagi meminta perlindungan untuk semua kanak-kanak Malaysia daripada penyakit ini. Kita semua perlu memastikan perlindungan ini boleh didapati oleh semua anggota masyarakat.




Rosnah ARS