Pages

Monday 9 December 2013

YA kepada Perlindungan daripada PnD (YES to PnD Protection )

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia


Setelah lama blog ini tidak dimuatkan apa-apa berita dan cerita mengenai saya, hari ini dengan sedikit ruang yang ada saya ingin berkongsi tentang sebuah Kempen yang saya rasmikan pada 6 Disember yang lalu. Kempen tersebut adalah Kempen 'Yes to PnD Protection'. Kempen ini adalah usaha kesedaran ke atas kesan serius penyakit pneumokokal, iaitu sejenis penyakit berbahaya yang lazimnya membawa maut dan kehilangan upaya. Pneumokokal juga merupakan sekumpulan penyakit disebabkan bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak dan saraf tunjang, radang paru-paru (pneumonia) dan otitis media atau jangkitan telinga tengah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penyakit pneumokokal meragut nyawa antara 700,000 hingga sejuta kanak-kanak berusia bawah lima tahun setiap tahun. Di peringkat global, kelaziman penyakit pneumokokal tahunan dianggarkan 14.5 juta kejadian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini.Pendidikan mengenai kaedah pencegahan ini perlu disampaikan kepada semua. Kesan penyakit ini sangat teruk tapi boleh dielak dengan kaedah pencegahan berkesan kepada kanak yang menderita penyakit ini. Tetapi vaksin dan pelalian cara paling berkesan dan menjimatkan kos untuk mengurangkan kadar penyakit dan kematian

Kempen YA kepada Perlindungan daripada PnD (YES to PnD Protection ), yang merupakan satu lagi langkah untuk membolehkan semua kanak-kanak mendapat vaksin pneumokokus supaya dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan sejahtera. Kempen ini merupakan inisiatif bersama Parenting2u, Pakatan Strategik Pencegahan Penyakit Pneumokokal Asia (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysian (MPA).

Kempen bertujuan menyatukan pakar penjagaan kesihatan profesional, ibu bapa dan individu yang prihatin dalam usaha menggesa kerajaan menggandakan usaha meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut.

Saya hadir menyokong kempen ini sebagai seorang Ibu, bukan atas kapasiti jawatan saya atau apa sahaja tetapi sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil. Saya amat faham rasa apabila anak-anak kita dihadapkan dengan penyakit sebegini dan paling merisaukan penyakit tersebut mengancam nyawa. Saya terpanggil untuk bersama-sama dengan Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang merupakan rakan baik saya yang juga Doktor yang merawat anak-anak saya. Beliau merupakan Ahli Pengasas Asian Strategic Alliance for Pneumoccocal Disease Prevention (ASAP) dan Pakar Runding Pediatrik KPJ Damansara.

Bagi saya inisiatif ini akan dapat menyediakan saluran untuk doktor membabitkan penyertaan ibu bapa di samping menerap dan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit pneumokokal. Pada sama ia juga memperkasakan ibu bapa supaya mengambil tindakan untuk melindungi anak-anak mereka daripada penyakit tersebut dan untuk meminta semua kanak-kanak Malaysia diberi vaksin.

Saya amat berharap ibu bapa dapat berbincang dengan doktor mereka dan mengambil langkah yang perlu bagi meminta perlindungan untuk semua kanak-kanak Malaysia daripada penyakit ini. Kita semua perlu memastikan perlindungan ini boleh didapati oleh semua anggota masyarakat.




Rosnah ARS

Friday 11 October 2013

Salam Aiidil Adha

Assalammualaikum WBT dan Salam 1Malaysia

          Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan kita peluang untuk menyentuh Aidil Adha kembali pada tahun ini. Bagi yang diberikan rezeki menjadi tetamu Allah, saya mengucapkan jutaan tahniah, semoga mendapat haji yang mabrur. Bagi yang tidak, tidak mengapa. Sesungguhnya seluruh kehidupan adalah ibadah, dan seluruh bumi adalah mihrab, kita laksanakan ibadah-ibadah lain seperti berkorban, puasa 9 Zulhijjah dan sebagainya untuk meningkatkan pahala dan memperkemaskan peribadi kita.InsyaAllah.
          Sesungguhnya Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha membawa erti yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, mengambil sempena Umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, Mekah. Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Peristiwa itu sebenarnya satu simbolik kepada umat Islam mentaati Allah dengan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkanNya.
          Pada hakikatnya, pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas.  Memperkatakan mengenai erti pengorbanan, dalam masyarakat umat Islam hari ini makna pengorbanan amat luas dan mendalam memandangkan terlalu banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s memberi makna besar kepada seluruh umat Islam dan ia memperlihatkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri.
          Namun begitu dalam kehidupan hari ini, pengorbanan mempunyai erti kata yang lebih luas. Hal ini termasuklah pengorbanan antara seorang manusia dengan manusia yang lain dan secara individu, umpamanya pengorbanan isteri terhadap suami dan anak-anak, anak terhadap kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa yang sanggup berkorban demi anak-anak tercinta. Namun dalam kehidupan hari ini yang kebanyakannya terlalu mengejar kemewahan dan kepentingan diri, masih adakah yang sanggup melakukan dan menaburkan pengorbanan semata-mata kerana Allah S.W.T.
          Dalam menjana pembangunan dan kemajuan hidup, kita sewajarnya menjadikan peristiwa korban itu sebagai inspirasi bagi memajukan kehidupan. Berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan.
          Ibadat korban yang dituntut oleh Islam bertujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan mematuhi segala suruhanNya. Peristiwa korban ini merupakan satu detik kejadian yang dapat ditanam oleh semua manusia dari semua peringkat usia dan latar belakang serta ilmu pengetahuan mereka.
          Dengan kata lain semangat berkorban adalah tuntutan paling besar sama ada dalam lingkungan keluarga, masyarakat mahupun, agama bangsa dan Negara.

Semarakkan Ikhlas Pengorbanan
Hikmah Besar Sebuah Perjuangan

Salam Aidil Adha buat semua
Rosnah Abdul Rashid Shirlin

#Calon10AhliMajlisTertinggi
#Calon09ExcoPergerakanWanitaUMNOMalaysia



Tuesday 1 October 2013

Selamat Bersidang & Selamat Memilih

Bismillah Nirahman Nirahim

Assalammualaikum wbt dan Salam 1Malaysia

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sekali lagi bersama-sama menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai ahli UMNO. Apatah lagi tahun ini merupakan tahun ini merupakan tahun pemilihan UMNO. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala supaya kita diberi hidayat dan petunjukNya bagi menjayakan pemilihan UMNO ini mengikut lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan tradisi parti demi keutuhan perjuangan murni parti UMNO.
Permata UMNO sekalian,

        UMNO adalah harapan orang-orang Melayu. Segala-galanya yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan UMNO. Kita telah menangkis Malayan Union, kita telah mencapai kemerdekaan, kita telah mengisikan kemerdekaan ini dengan pembangunan, kita telah meningkatkan ekonomi dan pelajaran orang-orang Melayu dengan menggunakan kekuatan yang kita dapati daripada UMNO. Jika UMNO berjaya menghasilkan semua ini sebabnya bukanlah semata-mata kerana UMNO merupakan sebuah pertubuhan yang bersemangat kebangsaan. Semangat kebangsaan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan dan semua parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan memang mempunyai semangat kebangsaan. Bahkan banyak parti-parti politik yang lebih kuat semangat kebangsaan mereka daripada UMNO.

        Tetapi setelah merdeka, banyak parti-parti politik kebangsaan di lain-lain negara tidak dapat memerintah dengan sempurna dan membawa kebahagiaan kepada bangsa mereka. Bermacam-macam masalah dan penyakit menyerang parti-parti ini. Akibatnya negara yang mereka bebaskan daripada penjajah menjadi lemah dan mundur dan rakyat menderita lebih daripada di zaman penjajah. Banyak daripada parti-parti ini bertukar corak dan mengenepikan demokrasi. Banyak yang berpecah dan hilang begitu sahaja.

        Sebaliknya, UMNO mempunyai falsafah yang membolehkannya membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. Kerana UMNO tidak terlalu ekstrim, UMNO dapat membentuk satu rangka kerjasama dengan lain-lain kaum dan parti-parti politik di Malaysia. UMNO mengutamakan keamanan dan tidak suka kepada keterlaluan. UMNO menghormati dan memegang kuat kepada konsep dan amalan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

        Oleh itu selaku sayap bongsu dalam UMNO kita semua perlu menjaga segala yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu. Segalanya ini menjadi tanggungjawab kita selaku pewaris pemimpin dalam UMNO. Bukan kecil tugas dan tanggungjawab kita selaku pemimpin muda, tetapi ini lah yang perlu kita jaga. Segala jerih payah usaha pemimpin terdahulu perlu kita jaga dan pertahankan. Walaupun kita adalah sayap paling muda, tetapi usia 12 tahun cukup matang untuk kita semua berjuang demi membela parti dan rakyat. Kita tidak lagi bertatih tetapi sudah boleh berlari seiring dengan abang dan kakak kita.

        Sementelah tahun ini merupakan tahun pemilihan, juga tahun terakhir saya selaku pemimpin kepada adik-adik semua, saya ingin berpesan kepada adik-adik semua, jalanilah pemilihan ini dengan sebaik-baiknya. Tidak kira pemilihan di peringkat Pergerakan Puteri UMNO Bahagian atau Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ia perlu bertanding secara sihat, dan saksama. Saya amat berharap pertandingan ini berlangsung dalam keadaan tersusun dan telus, tidak ada isu-isu remeh menjatuhkan kredebiliti pemimpin dalam Pergerakan Puteri UMNO.

Saya juga ingin berpesan kepada adik-adik agar tidak ada budaya memburuk-burukan sesama sendiri, sesama calon yang bertanding. Kesemua calon yang bertanding harus mengamalkan sikap profesional dan menampilkan sifat kepimpinan dalam diri masing-masing dan dipilih atas kelebihan yang ada pada diri sendiri. Saya juga ingin berpesan agar-agar adik-adik semua bertanding adalah demi perjuangan kepada parti amnya dan Pergerakan Puteri khsusnya, bukan demi kepentingan diri sendiri. Hal ini kerana perjuangan dalam UMNO adalah demi kelangsungan survival bangsa Melayu, bukan untuk individu.

Saya amat berharap siapa pun Ketua yang bakal adik-adik semua pilih, legasi kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO dapat diteruskan ke tahap yang lebih baik dan peranan Pergerakan Puteri dalam UMNO terus dekat dengan masyarakat.

Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih buat adik-adik semua yang telah memberi sepenuhnya komitmen tanpa berbelah bagi sepanjang saya menjadi Ketua, terutama semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Adik-adik semua telah menjalankan tanggungjawab sebagai jentera parti dengan sangat baik.

Akhir kata, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf selama lima tahun saya menjadi Ketua kepada adik-adik semua sekiranya mempunyai kekurangan dan khilaf. Sesungguhnya saya manusia biasa yang telah cuba melakukan terbaik dengan segala kudrat dan kemampuan saya bersama barisan kepimpinan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2009 – 2013.

Selamat Bersidang & Selamat Memilih buat semua,

Titian perjuangan pasti tidak selalu indah, pasti jurang likunya terbentang luas. Tetapi lalui ia dengan hati penuh cekal dan tabah.

Rosnah ARS

Wednesday 11 September 2013

Semoga Berjaya Anak - Anak , UPSR

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Hari ini merupakan hari kedua peperiksaan UPSR. Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR kepada adik-adik Tahun 6 seluruh Malaysia. Peperiksaan ini adalah landasan untuk adik-adik semua menunjukkan hasil usaha adik-adik selama ini. Semoga adik-adik semua dapat menjawab dengan tenang dan tepat.Pesan saya untuk adik-adik semua lakukan yang terbaik demi masa depan adik-adik semua, sentiasa berdoa mohon diberi ketenangan dan mendapat keputusan yang cemerlang.

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang mengambil UPSR, panjatkan doa kepada Allah agar anak-anak kita dipermudah untuk menjawab soalan. 
InsyaAllah.

Saturday 24 August 2013

Pemilihan UMNO 2013

Pemilihan UMNO akan berlangsung pada Oktober 2013. Sebagai sebuah parti yang kukuh dan matang, prinsip demokrasi kekal menjadi akar yang setia menunjangi pertumbuhan pucuk-pucuk baru dalam pohon kepimpinan yang sedia ada. Disamping memperkasa pengalaman pemimpin yang sedia ada,ruang untuk pemimpin baru berkhidmat dan berjuang juga terbuka dengan adilnya.
Atas semangat ini, saya dengan rasa rendah hati  menawarkan diri bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Selepas bermuzakarah dan mempertimbang segala sudut pandang, keputusan ini di ambil atas rasa penuh tangungjawab dan kesediaan saya untuk terus memperjuangkan manhaj perjuangan parti.
Sebagai muka baru, saya berjanji untuk memenuhi ruang dan peluang ini dengan penuh amanah, dedikasi, setia serta bertanggungjawab terhadap Pergerakan Wanita UMNO khususnya dan UMNO secara amnya.
InsyaAllah, saya yakin dan percaya, atas izin Allah dengan laluan pengalaman  saya  dalam politik bermula sebagai ahli Pergerakan Puteri kepada Ketua Pergerkan Puteri UMNO Sabah kemudian Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sehinggalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah memberi saya keazaman untuk terus bersetia dan bersedia  dalam perjuangan parti. Seperti mana saya bermula dari bawah dalam Pergerakan Puteri, begitulah jua saya memilih jalan yang sama untuk  berkhidmat dari bawah sebagai Exco Pergerkan Wanita UMNO kerana apa yang penting pada saya adalah nilai istiqamah dalam perjuangan.
Sejujurnya keputusan ini juga saya ambil kerana tanggungjawab untuk saya meneruskan perjuangan yang sedia ada kepada parti, memperkukuhkan saf kepimpinan Wanita serta belajar meneroka jalan perjuangan yang lebih berdaya, kompeten serta berani selari dengan nama Pergerakan Wanita UMNO yang gah sebagai sayap kukuh parti.
     Untuk tujuan itu, saya menyokong kepimpinan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil kerana percaya pada dinamisme kepimpinan beliau dalam membawa Pergerakan wanita UMNO sebagai sebuah sayap parti yang berani dan di hadapan dalam membela kebajikan serta perjuangan di segenap isu wanita. Saya bersedia untuk bersama saf kepimpinan Wanita berjuang menganjak nilai dan martabat wanita, menggerakkan transformasi yang proaktif dan pastinya yang lebih utama mendahulukan perjuangan menjadikan Parti keramat ini kekal relevan kepada perjuangan bangsa.
Sebagai pemimpin Pergerakan Puteri UMNO yang menawarkan diri bertanding dalam Pergerakan Wanita UMNO, saya melihat ini sebagai satu transisi semulajadi yang mampu memperkasa parti. Untuk setiap ahli Puteri yang telah melebihi had usia, maka secara automatik mereka akan diserap sebagai ahli Wanita dan saya percaya setiap seorang dari mereka bersedia untuk terus sedia, setia dan berkhidmat kepada parti. Inilah lambang keterbukaan dan kematangan UMNO sebagai sebuah parti yang sentiasa di hadapan dalam membina wasilah perjuangan membela wanita.
  Dalam roh dan semangat perjuangan ini juga, Pergerakan Wanita adalah umpama ibu kepada parti yang pastinya boleh menerima anak yang telah dewasa ke dalam Pergerakan Wanita untuk perlahan-lahan diajar dan dibentuk menjadi pejuang parti yang matang seperti mereka. Sebagai seorang anak, kesemua ahli Puteri yang berhijrah ke Wanita bersedia untuk belajar ‘resipi perjuangan dari air tangan ibu’ melalui jalan pengkongsian kudrat dan pengalaman.
    Jalinan yang baik antara Pergerakan Wanita UMNO dan Pergerkan Puteri UMNO yang sedia tersimpul erat kini akan menjadi tali pengikat perjuangan parti yang kekal bertaut dan tidak akan putus sampai bila-bila.
   Sekali lagi dengan rasa rendah hati serta dengan keizinan dari Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa, saya menawarkan khidmat bakti saya untuk bertanding dalam jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin

Wednesday 21 August 2013

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Saya kira beberapa hari ini keadaan sedikit panas terutama rakyat Sabah dan Sarawak mengenai kenyataan saya semasa Taklimat Jalan Raya Pan Borneo pada 16 Ogos 2013 lalu berkenaan status 93 peratus jalan pan borneo di Sabah dan Sarawak telah siap. Berlaku sedikit kekeliruan atas kenyataan tersebut. Terdapat banyak pihak yang mempertikaikan status 93 peratus itu sendiri dan juga tentang jalan 4 & 6 lorong serta istilah ‘highway’.

Untuk makluman semua, Jalan Pan Borneo adalah jalan raya SEDIA ADA yang bermula dari Sematan Barat Sarawak dan melalui bandar-bandar utama seperti Lundu, Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas di Sarawak dengan melalui Negara Brunei  seterusnya menghubungkan Sindumin di sempadan Sabah Sarawak, Sipitang, Beufort, Kota Kinabalu, Ranau,Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kalabakan,Sapulut,Nabawan, Keningau dan berakhir di Kimanis di negeri Sabah. Jumlah panjang jalan raya ini ialah 2,239 KM tidak termasuk ‘missing link’ daripada Kalabakan – Serudong di sempadan Sabah / Kalimantan sepanjang 50 km.

Maka, daripada jumlah panjang 2,239 KM itu 2094 KM atau 93.5 peratus telah pun dinaiktaraf daripada jalan tanah atau jalan gravel ke tahap berturap. Kenyataan 93.5 peratus yang disebutkan tempoh hari adalah merujuk kepada kerja menaik taraf jalan-jalan sedia ada kepada jalan berturap.

Selain itu kenyataan tentang jalan 4 atau 6 lorong itu adalah merujuk kepada 248 KM atau 11.08 % telah pun dinaiktaraf ke ‘dual carriageway’ 4 lorong atau 6 lorong seperti jalan KK-Kepayan-Petagas (6 lorong), Jalan Kuching Airport – Jejambat di Bulatan Kenyalang (6 lorong), Jalan Kuching Serian (4 lorong),Jalan Petagas-Putatan-Lok Kawi (4 lorong dan sedang dinaiktaraf ke 6 lorong).

Kini, kerajaan sedang merancang untuk menaik taraf baki 1,991 KM Jalan Raya Pan Borneo ini ke tahap ‘dual carriageway’ 4 lorong atau 6 lorong secara berperingkat dalam tempoh 12 tahun hingga tahun 2025 dengan anggaran kos RM 22 billion.

Seperkara yang menjadi kekeliruan adalah soal istilah ‘highway’ yang diterjemah menjadi lebuhraya. Maka apabila istilah lebuhraya digunakan, persepsi masyarakat pastilah merujuk kepada lebuhraya seperti di Semenanjung. Hakikat sebenarnya, maksud ‘highway’ itu adalah merujuk kepada jalan utama. Dalam isu Pan Borneo istilah yang digunakan oleh Kementerian Kerja Raya adalah Jalan Raya Pan Borneo yang merujuk kepada jalan-jalan utama sedia ada tetapi dinaiktaraf.

Saya amat berharap pihak-pihak tertentu boleh merujuk perkara ini kepada pihak yang sepatutnya iaitu Kementerian Kerja Raya atau Jabatan Kerja Raya Sabah atau Sarawak, bukan membuat justifikasi sendiri.Pihak Kementerian Kerja Raya dan JKR Sabah dan Sarawak bersedia untuk memberi penjelasan mengenai maklumat yang tepat.

Rosnah ARS




Wednesday 7 August 2013

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
          Syukur alhamdulillah, sekali lagi umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadat puasa dalam keadaan aman dan sejahtera. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana di sepanjang bulan Ramadan kita dikurniakan berbagai- bagai nikmat dan rezeki serta kesihatan. Kita juga bersyukur kerana dihindari dan dijauhi oleh Allah SWT daripada penderitaan dan kepahitan hidup seperti yang menimpa saudara muslimin dan muslimat kita di beberapa negara, akibat peperangan di antara Islam dengan bukan Islam dan orang Islam sesama orang Islam.
          Adalah diharapkan setelah berjaya menunaikan ibadat puasa yang wajib ini, kita akan menjadi insan yang lebih insaf dan bertakwa. Mudah-mudahan dengan kita bersyukur, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan berkenan mengurniakan lebih banyak lagi rezeki dan menambahkan lagi nikmat kepada kita di masa akan datang.
          Ibadat puasa memberikan banyak hikmah, manfaat dan pengajaran kepada kita. Di samping membantu membentuk akhlak dan peribadi yang mulia, sepertimana yang dituntut oleh agama Islam, berpuasa memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita mengenai kelaparan dan penderitaan yang dialami oleh umat Islam yang kurang bernasib baik. Justeru itu, kita akan lebih bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan lebih bertimbang rasa serta insaf.
          Hari Raya Aidilfitri di negara ini disambut dengan meriah oleh kaum muslimin dan muslimat. Pada hari yang mulia ini di samping kita bergembira, kita hendaklah juga bersyukur kerana kejayaan kita menghadapi segala ujian ketabahan diri dan melawan segala bentuk nafsu. Umat Islam hendaklah juga kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain.
          Selain daripada kemenangan kita menghadapi ujian ibadat puasa, kita juga bersyukur kerana negara kita aman dan stabil. Ini membolehkan masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup aman damai. Untuk meningkatkan lagi pembangunan negara dan mencapai hasrat kita menjadikan Malaysia sebuah negara maju, adalah penting kestabilan politik dan hubungan baik antara kaum ini sentiasa dipupuk dan ditingkatkan.Setelah melihat bagaimana rusuhan yang dahsyat berlaku kerana perkauman di beberapa negara, kita patut lebih menghargai keharmonian kita dan memelihara keharmonian ini dengan baik.
          Perpaduan di kalangan muslimin dan muslimat adalah juga penting jika umat Islam ingin maju dan dihormati. Umat Islam akan menjadi lemah dan tidak berupaya mencapai kemajuan jika kita tidak bersatu. Kita telah melihat apa yang boleh berlaku apabila umat Islam berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Tidak ada satu pun kebaikan daripadanya.Hasil yang jelas ialah musuh Islam menjadi lebih kuat dan angkuh. Oleh itu, marilah kita dihari yang mulia ini, mempertingkatkan azam dan usaha untuk memperkukuhkan lagi silatulrahim di kalangan umat Islam.
          Kita juga bernasib baik kerana ekonomi negara adalah kukuh. Kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah tinggi dan menggalakkan. Tidak banyak negara di dunia, termasuk negara-negara maju, yang berjaya mencatat pertumbuhan seperti kita. Ini adalah satu rahmat kepada kita.Pencapaian ini adalah hasil daripada langkah-langkah bijak dan berani kerajaan bersama rakyat. Pertumbuhan yang menggalakkan ini membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding dengan beberapa tahun yang lalu. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini juga telah mewujudkan banyak peluang perniagaan kepada ahli-ahli perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan kepada belia-belia kita.
        Untuk menjamin ekonomi negara terus berkembang pesat, adalah penting rakyat mengambil kesempatan daripada keamanan dan kestabilan negara dengan bekerja kuat dan beramanah.Tanpa kesanggupan bekerja keras dan berdisiplin, para pelabur, terutama dari luar negeri, sudah tentu tidak akan melabur di negara kita. Janganlah kita mempunyai sikap atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan peluang kita sendiri dan memburukkan imej kita sebagai bangsa yang beramanah dan bertanggungjawab. Saya yakin jika kita jujur, beramanah dan bertanggungjawab, ia tidak akan menghampakan usaha-usaha untuk memajukan negara.
          Saya mengambil kesempatan Hari Raya Aidilfitri ini untuk menggesa umat Islam di negara ini supaya melipatgandakan usaha untuk memperbaiki dan mengukuhkan kedudukan diri kita. Kita tidak harus lupa bahawa agama Islam menggesa umatnya berusaha untuk memperolehi bahagian mereka di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menentukan bahawa bahagian umat Islam di dunia kurang daripada yang bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala juga tidak menentukan bahawa orang Islam dihina di dunia sebelum mereka mendapat kebahagiaan di akhirat.
          Kepada kaum muslimin dan muslimat sekalian, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Saya percaya mereka yang bukan beragama Islam akan turut merayakan hari yang mulia ini dengan rakan-rakan Islam mereka. Mudah-mudahan ini akan mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.
          Akhir kata, saya serta keluarga saya,bersama warga Pusat Khidmat Wakil Rakyat P 175 Papar, Pejabat Timabalan Menteri Kerja Raya dan Ibu Pejabat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memohon maaf, zahir dan batin, atas apa juga kesilapan yang mungkin kami lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Hati – hati  memandu di jalan raya dan semoga Aidilfitri ini bermakna buat kalian semua.

Rosnah Abd Rashid Shirlin




Thursday 1 August 2013

Tindakan Terhadap Pembuat Video 1 Hari di Hari Raya - Bantu Perbetulkan Akidah


Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengecam tindakan individu yang membuat video ‘1 Hari Di Hari Raya’ tersebut. Tindakan beliau ini merupakan penghinaan terhadap umat Islam di Malaysia apatah lagi ia dilakukan dalam bulan Ramadhan. Lebih menyedihkan lagi pembuat video tersebut merupakan seorang yang beragama Islam.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melihat individu ini bukan sahaja perlu dikenakan tindakan undang-undang atas sebab penghasilan video dengan niat memprovok umat Islam di Malaysia tetapi juga, individu ini perlu diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Malaysia kerana tindakan beliau memperlihatkan beliau mempunyai masalah dengan pegangan akidah sebagai umat Islam atau mungkin kurang pemahaman mengenai hukum.

Kita mungkin boleh menjatuhkan hukuman denda, penjara atau lain-lain hukuman, kita juga mungkin boleh mengecam beliau, memarahi beliau atas apa yang telah beliau lakukan. Tetapi perkara yang lebih penting adalah usaha kita untuk membantu untuk beliau memperbetulkan pegangan akidah agar perkara ini tidak menular ke dalam masyarakat.


Kita tidak mahu individu ini dikenakan tindakan undang-undang semata-mata kemudian apabila selesai menjalani hukuman beliau mengulangi perbuatan yang sama. Kita juga perlu menggarap usaha agar beliau berpasak pada pegangan akidah yang sebenar dan kukuh. Hal ini kerana tindakan yang dilakukan oleh beliau ini pasti bersangkut dengan pegangan agama beliau. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu beliau kembali kepada pegangan akidah yang sebenar.

Sunday 28 July 2013

19 Ramadhan

 Assalammualaikuum & Salam 1Malaysia

Hari ini 19 Ramadhan. Bermakna kita telah memasuki fasa 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. 10 Malam terakhir ini merupakan malam yang dinanti oleh umat Islam kerana dalam 10 malam terakhir ini terdapat 1 malam yang sangat besar hikmahnya iaitu malam Lailatul Qadar. Hamba Allah yang ditakdirkan bertemu dengan malam ini merupakan hamba Allah terpilih.

Hal ini kerana Lailatul Qadar yang dinyatakan di dalam al-Quran sebagai, “lebih baik daripada seribu bulan”. Apa-apa ibadah yang dilakukan pada malam ini seperti membaca al-Quran, mengingati Allah, dan lain-lain adalah lebih baik daripada beribadah untuk 1000 bulan yang tidak mengandungi malam Qadar. Maka sama-sama lah kita berdoa agar kita dipertemukan dengan malam yang penuh bermakna ini.

Dalam menjalani ibadah berpuasa ini, saya yakin dan percaya kita pasti dihadapkan dengan dugaan yang menguji diri. Sebagai manusia biasa pastinya kita kadang kala lemah untuk menghadapi ujian Allah. Namun bulan Ramadhan ini merupakan bulan yang mendidik kita bertahan dengan segala ujian dan menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya.

Semoga juga Ramadhan ini penuh makna buat kita semua, menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa. InsyaAllah.


Monday 15 July 2013

Alvin & Vivian tidak wajar diberi maaf

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Hari ini sudah 6 Ramadhan, bermakna sudah 6 hari kita berada di bulan yang suci ini. Sebagai sebuah Negara majmuk seperti Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum bulan ramadhan ini bukan sahaja disambut meriah oleh umat Islam tetapi juga oleh bukan Islam yang seronok berkunjung ke Bazar Ramadhan. Hal ini kerana Malaysia merupakan sebuah Negara yang mengamalkan budaya meraikan kepelbagaian dan menghormati rakyat berlain bangsa dan agama.

Namun begitu, terdapat rakyat Malaysia yang langsung tidak mempedulikan sensitiviti penganut agama lain. Tingkah laku kurang jarang dua remaja cina iaitu Alvin dan Vivian yang mengajak umat Islam berbuka puasa dengan Bak Ku Teh sebagai tindakan yang sangat kurang ajar. Lebih malang lagi mereka meletakkan logo halal makanan yang sememangnya telah diketahui haram hukumnya untuk umat Islam. 

Tindakan mereka ini sebenarnya meletakan mereka sebagai seorang warganegara yang begitu rendah moralnya.

Paling tidak boleh diterima ialah tindakan mereka mempersenda kesucian bulan Ramadan, mencemar hukum-hakam di dalam Islam dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang sedang berpuasa, pada saya perbuatan itu sudah cukup melampau dan tidak wajar dimaafkan lagi.

Saya amat berharap tindakan sewajarnya diambik ke atas mereka berdua. Mereka berdua tidak layak mengaku sebagai warganegara kepada sebuah Negara yang mengamalkan prinsip menghormati sensitiviti penganut agama dan bangsa lain.

Rosnah ARS

Thursday 11 July 2013

Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum wbt dan Salam 1 Malaysia
Sidang pembaca yang saya hormati sekalian. Esok merupakan hari kedua bagi umat Islam  untuk menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa setiap ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah swt mempunyai pelbagai hikmah dan kelebihan kepada hamba-Nya sendiri dan pelbagai hikmah dapat kita perolehi di dalam ibadah puasa ini.
Pertama, Merapatkan diri kita kepada Allah SWT. Di mana Umat Islam dikehendaki untuk mengawal nafsu makan, minum serta perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa. Maka ini dapat menyuburkan perasaan tunduk serta patuh kepada Allah SWT dalam melaksanakan perintahnya. Maka Ketaqwaan ini adalah diantara hikmah dan nikmat yang diperolehi daripada melaksanakan ibadah puasa.
Kedua, Pembersihan Jiwa. Kita dapati seseorang yang berada di dalam kekenyangan mudah untuk bersifat malas dan menjadikan mereka ini lalai dan leka di dalam kehidupan seharian. Maka ibadah puasa yang disyariatkan ini akan membantu mengawal nafsu mereka, dengan pengawalan nafsu tersebut maka ia akan menyuburkan sifat-sifat positif yang ada di dalam jiwa mereka.
Ibadah berpuasa juga mendidik umat islam supaya lebih bersifat kasih sayang diantara satu sama lain, diantara keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibadah berpuasa mendidik kita agar mengingati mereka yang hidup di dalam serba kekurangan. Ibadah puasa tidak mengenal erti kaya atau miskin, di mana setiap umat islam tak kira siapa diwajibkan untuk berpuasa di bulan ramadhan. Ibadah ini akan menimbulkan sifat kasih sayang di dalam diri seseorang dan ditambah pula dengan amalan bersedekah serta amal kebajikan yang lain.
Harapan saya kepada seluruh umat islam di Negara kita, marilah kita bersama-sama tekun dan tawaduk di dalam menyempurnakan ibadah puasa di dalam bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita akan menjadi seorang hamba Allah yang lebih taat dan bertaqwa.

Dengan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak, dan Selamat Menunaikan Ibadah Berpuasa .

Rosnah ARS


Monday 1 July 2013

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia.

Minggu ini merupakan minggu kedua Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-13. Untuk penggal ini saya diberi amanah dan tanggungjawab bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen P175 Papar juga sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya. Maka bidang kerjanya berbeza,namun amanahnya tetap sama,khidmatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan demi kebajikan rakyat. 

Saya amat berharap kesemua Ahli Parlimen dapat bersidang dengan baik dan sopan bukan dengan emosi. Hal ini kerana tanggungjawab utama adalah memperjuangkan isu kebajikan rakyat bukan isu kepentingan sendiri atau parti. Maka pokok pangkalnya setiap apa yang diperdebat dan dibahaskan adalah isu untuk kebajikan rakyat. Apatah lagi, untuk sidang kali diperuntukkan selama satu jam 30 minit siaran langsung persidangan Dewan Rakyat. Hal ini bermakna segala yang diperdebatkan,segala tingkah laku Ahli Dewan Rakyat dapat ditonton oleh rakyat bukan sahaja dalam Malaysia tetapi di luar Negara. Semoga kita semua dapat menjalankan amanah sebaik mungkin.InsyaAllah.


RosnaH ARS






Thursday 6 June 2013

Salam Israk Mikraj 1434 Hijrah


Assalammualaikum & Salam 1Malaysia

Hari ini 06 Jun 2013 bersamaan dengan 27 Rejab 1434 Hijrah. Dalam sejarah umat Islam, pada tarikh ini telah berlaku peristiwa yang menakjubkan dan menunjukan kebesaran Allah SWT. Pada tarikh ini, telah berlaku peristiwa israk mikraj. Saya kira tidak perlu saya ceritakan sejaranya kerana saya yakin dan pasti sangat ramai yang mengetahuinya. Namun, seperkara yang mahu kita semua renungkan sempena peristiwa Israk Mikraj. Kita semua mengetahui bahawa peristiwa Israk Mikraj merupakan perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh. Maka, seperkara yang perlu kita ketahui adalah perkara yang terjadi kepada Rasul adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia. Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.

Namun begitu Rasulullah S.A.W. menyahut cabaran Abu Jahal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah S.A.W. ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah S.A.W. menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya. Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Keberanian Rasulullah s.a.w. memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam. Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.

Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran. Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.

Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh. Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.

Hubungan dengan Allah s.w.t. ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita. Semoga kita semua menjadi lebih baik setiap hari.

 

Salam Israk Mikraj

Rosnah ARS

Sunday 2 June 2013

Penubuhan Jawatankuasa Khas


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia


Semalam YAB Perdana Menteri mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas khusus untuk mengawal selia SPR. Saya melihat langkah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan langkah yang sangat positif. Kenyataan saya ini bukanlah kerana saya merupakan Ahli Parlimen Barisan Nasional tetapi kita perlu melihat perkara ini sebagai sebuah langkah yang telus dan demokratik. Hal ini kerana dengan tubuhnya jawatankuasa ini kita lebih dapat menambah baik proses Pilihanraya dan bidang tugas SPR.

          Perkara yang lebih penting lagi adalah tidak akan ada lagi pertikaian bahawa SPR menyebelahi mana-mana pihak atau lebih tepat lagi menyebelahi parti pemerintah walaupun sebenarnya perkara ini tidak terjadi dalam Pilihanraya yang kita lalui baru-baru ini.
          Penubuhan jawatankuasa yang dianggotai oleh kedua-dua pihak membolehkan kedua-dua pihak mengawal selia SPR itu sendiri. Saya amat berharap langkah penubuhan jawatankuasa ini yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri tidak dipolitikan dan tidak diputar belitkan oleh mana-mana pihak. Hal ini kerana kesediaan kerajaan menubuhkan jawatankuasa ini membuktikan bahawa SPR merupakan sebuah Suruhanjaya yang telus dan adil. Langkah ini perlu dipandang positif dan rasional, bukan dari sudut emosi dan persepsi sendiri.

Rosnah ARS



Thursday 30 May 2013

KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.


Hari ini dan esok merupakan Hari Perayaan Pesta Kaamatan adalah perayaan yang disambut bertujuan untuk merayakan kejayaan petani dalam memperolehi hasil tuaian padi dan menunjukkan rasa penghargaan atas rezeki yang diperolehi oleh petani. Perayaan ini diilhamkan daripada sambutan kejayaan masyarakat Kadazan Dusun dahulu kala yang akan menyambut hari gembira sebaik sahaja selesai menuai padi.

Sekadar berkongsi cerita mengenai sejarah Sambutan Pesta Keamatan. Cerita yang saya dengar sejak saya kecil. Perayaan ini bermula dengan cerita Legenda Humidon iaitu seorang gadis yang sanggup mengorbankan dirinya demi memastikan kelangsungan hidup kaumnya. Menurut cerita lama, setelah beliau mati dan ditanam, mayat beliau telah mengeluarkan pelbagai benih yang mendatangkan hasil dan salah satunya adalah padi. Maka masyarakat Kadazan Dusun percaya padi yang ada pada hari ini berasal dari pengorbanan Humidon.

Walaupun cerita ini hanyalah legenda masyarakat dahulu kala, tetapi ia harus dijadikan satu pengajaran dan keinsafan terhadap kita bahawa untuk kita meneruskan kehidupan, kita haruslah sanggup berkorban. Kita juga perlu bekerja keras dan gigih berusaha untuk kejayaan kita dan masa depan bangsa, tanah air dan keluarga kita. Perayaan ini bukan hanya sebagai lambang kejayaan tetapi juga melambangkan perpaduan dan jati diri kita. Tidak ada yang mudah untuk kita berjaya dan kejayaan itu hanya boleh diperolehi dengan semangat kental tidak mudah mengalah, bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh serta semangat bersatu padu di bawah payung yang sama.

Selain itu juga, Pesta Keamatan ini memberi kepelbagaian kepada kita kerana keunikan budayanya. Apatah lagi untuk rakyat Sabah dan Sarawak. Walaupun kita berasal dari latar belakang budaya, adat resam, pertuturan dan etnik yang berbeza tetapi kita bangga dengan perpaduan dan kekuatan kita.Maka peliharalah semangat ini sebagaimana kita memelihara semangat Kaamatan.

Saya menyeru kepada semua agar pelihara keamanan yang telah kita kecapi bersama. Keamanan ini adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Jangan cemari ia dengan keangkuhan emosi kita.


“Kita Satu Dalam Kepelbagaian dan Kita Pelbagai Tetapi Satu”


Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2013 kepada masyarakat Kadazan Dusun.


“ KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN 2013 ”

 

Rosnah ARS

Sikap Pembangkang

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Alhamdulilah, hari ini hari ke sepuluh bertugas di Kementerian Kerja Raya. Segalanya berjalan dengan baik. Mendapat kerjasama yang sangat baik dari semua orang.

Saya sebenarnya mahu menulis tentang sikap pihak pembangkang yang tidak sudah-sudah mempertikaikan keputusan PRU. Sebenarnya tindakan mereka ini sudah kita jangka. 

Cumanya agak pelik dengan sikap mereka ini, hairan saya.Mereka beriya-iya membantah keputusan PRU - 13, kata mereka PRU kali ini tipu dan tidak adil,BN menipu pada PRU kali ini,SPR tidak adil. Tetapi di Negeri yang mereka menanglah yang paling awal membentuk kerajaan. Adakah kerana Negeri itu mereka menang maka ia adil, dan ketidak adilan itu hanya di Negeri mereka kalah.

Ketua Pembangkang kata Mahkamah di Malaysia tidak adil, berat sebelah.Tetapi mengapa apabila melibatkan keputusan kes liwat beliau yang menyebelahi beliau diterima tanpa bantahan. Adakah maksudnya segala perkara yang menyebelahi beliau di anggap adil dan benar,tetapi apabila ia menyebelahi BN maka ia dianggap tidak adil.

Saya sangat berharap rakyat dapat menilai perkara ini. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan tindakan pembangkang yang berniat mahu menghuru-harakan Negara. Mereka memilih untuk membuat demonstrasi dan himpunan sebagai tanda bantahan terhadap keputusan Pilihanraya. Kita punya cara yang aman untuk membuat bantahan, failkan petisyen kepada SPR sebagai bantahan terhadap mana-mana keputusan PRU.Hatta jika benar mereka mahu membela rakyat dan mendahulukan kepentingan rakyat, mereka sepatutnya memilih cara yang aman, bukan memilih untuk mengadakan himpunan dan demonstrasi.

Rosnah ARS

Tuesday 21 May 2013


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulilah, semalam 20 Mei 2013 saya memulakan tugas untuk hari pertama di Kementerian Kerja Raya. Segalanya berjalan dengan baik. Saya juga merasa terharu dengan sambutan dari kakitangan Kementerian Kerja Raya. Petang semalam juga Kementerian Kerja Raya telah memberi serba ringkas taklimat mengenai Kementerian ini bersama YB Menteri. 

Saya sangat menghargai amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh YAB Perdana Menteri kepada saya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya. Saya kira ini tugas yang cukup mencabar apatah lagi saya merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya Wanita pertama tetapi saya akan berusaha memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat. 

Untuk warga Kementerian Kesihatan Malaysia, terima kasih kepada nada semua memberi kerjasama yang amat baik kepada saya, yang membantu saya selama saya berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia. Semoga kita semua dapat menjalankan tugas dan amanah dengan baik demi Negara.





Semoga dipermudahkan urusan kita semua. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik menjalankan amanah.

Rosnah ARS

Wednesday 8 May 2013

Terima kasih Warga Papar


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Keputusan PRU-13 baru sahaja di umumkan 3 hari yang lalu. Alhamdulilah, kerusi yang saya tandingi iaitu P175 Parlimen Papar menang dan majoriti sokongan juga meningkat. Jika dibandingkan dengan PRU 12 yang lepas saya hanya memperoleh majoriti undi 9,574 tetapi untuk PRU kali ini saya memperoleh majoriti sebanyak 10,535. Selain itu juga peratus hadir undi juga meningkat dari 77.18 peratus pada 2008 kepada 85.80 peratus pada PRU kali ini. Peningkatan hadir undi juga membuktikan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab kepada Negara.

Namun begitu, erti sebenar kemenangan saya pada kali ini bukanlah pada meningkatnya majoriti sokongan atau hadir undi tetapi adalah erti percaya warga Papar kepada saya. Sungguh ia benar-benar bermakna buat saya.

Undi yang diberi adalah tanda kepercayaan kepada saya untuk memperjuangkan kebajikan warga Papar dan memastikan segalanya tersedia lengkap tanpa kurang. Undi ini juga merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar untuk saya, saya berjanji akan menjaga amanah yang diberi sebaik mungkin dan akan memberi khidmat terbaik untuk warga Papar. Saya akan berusaha menjadikan Papar lebih baik dari sebelum ini dan memastikan warga Papar dapat hidup selesa dengan segala kemudahan prasarana awam seperti hospital, lampu jalan, sistem saliran dan juga pusat aktiviti belia. Segalanya akan saya usahakan sebaik mungkin.

Saya juga berjanji akan membaiki segala kekurangan sebelum ini, akan meningkatkan mutu khidmat tidak kira sama ada diri saya sendiri atau pentadbiran Pejabat Parlimen. Segalanya akan saya lakukan dengan terbaik demi memastikan bahawa kepercayaan yang diberi kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sia-sia. Yakin dan percayalah bahawa setiap satu undi percaya ini tidak akan saya abaikan. InsyaAllah.

Selepas PRU ini ada perkara yang perlu kita pulih dan jaga semula, saya kira semua sedia maklum lawan saya pada PRU kali ini adalah ahli keluarga saya. Namun begitu setelah usai tamat PRU ini hubungan kekeluargaan ini akan kembali erat tanpa permusuhan. Pentas politik ini bukan untuk membuat musuh apatah lagi sesama keluarga. Saya amat menghargai hubungan kekeluargaan ini, maka ia pasti akan saya pelihara walau dalam pentas politik kami adalah lawan tetapi hubungan kekeluargaan itu tidak akan putus dan rasa hormat saya tidak akan terhakis walaupun sedikit.

Selain itu, keputusan PRU-13 kali ini juga membuktikan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib tetap diterima oleh masyarakat Malaysia. Sokongan melalui undi yang diberi kepada Barisan Nasional membuktikan bahawa segala usaha gigih YAB Dato’ Sri Najib diterima oleh rakyat. Walaupun Barisan Nasional hanya dapat memerintah semula Negeri Kedah ia tetap bermakna buat pemerintahan Barisan Nasional.

Barisan Nasional menerima kegagalan memerintah semula di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dengan hati terbuka. Hal ini kerana Barisan Nasional menerima suara hati rakyat, itu adalah pilihan rakyat. Barisan Nasional bukan seperti Pakatan Rakyat yang mempertikaikan pilihan rakyat dengan mahu mengadakan demonstrasi membantah keputusan yang telah disahkan. Saya kira Pakatan Rakyat perlu faham bahawa ini adalah pilihan rakyat,rakyat yang memilih pemerintah yang mereka rasakan layak untuk memperjuangkan nasib mereka.

Tindakan Pakatan Rakyat yang merancang mahu mengadakan demonstrasi bantahan adalah tindakan yang langsung tidak rasional. Hatta mereka tidak berpuas hati sekali pun mereka sebenarnya mempunyai pilihan untuk menyalurkan bantahan tersebut dengan  boleh mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas pewartaan keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mereka punya cara yang lebih aman dan rasional mengapa mahu memilih untuk menggunakan kaedah berhimpun, demonstrasi dan sebagainya. Tindakan ini membuktikan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya sengaja mahu mencetuskan huru hara dalam Negara. Saya amat berharap rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi pembangkang.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon Barisan Nasional yang memenangi kerusi di kawasan masing-masing. Kemenangan itu pastilah atas usaha gigih jentera Barisan Nasional yang bekerja keras demi memastikan Barisan Nasional kekal memerintah. Semoga kita semua dapat memberi khidmat terbaik untuk rakyat kerana kita ini sudah menjadi milik rakyat. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan saya dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi. Kemenangan mereka semua ini membuktikan bahawa rakyat menerima dengan baik kepimpinan wanita muda.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera Barisan Nasional P175 Papar yang berkerja keras demi memastikan kemenangan Barisan Nasional. Sesungguhnya jasa kalian amat besar maknanya.

Semoga setiap usaha perjuangan kita ini diberkati Maha Pengasih, dipermudahkan urusan kita semua demi menjalankan amanah untuk rakyat, semoga kita berupaya menunaikan segala janji dan ikrar.

Terima kasih atas kepercayaan kepada Barisan Nasional.

Rosnah ARS.