Pages

Saturday 16 June 2012

Selamat Hari Bapa


Assalammualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

          Jika bulan MEI hari ibu disambut, pada bulan JUN ini tiba pula giliran hari bapa. Namun ini tidak bermakna kita hanya menghargai ibu dan bapa kita pada hari istimewa sahaja. Tetapi sewajarnya setiap masa kita perlu menghargai ibu dan bapa kita yang banyak berjasa kepada kita.

Untuk tahun 2012 ini, hari bapa disambut pada 17 Jun (Ahad).

          Jasa bapa terlalu besar untuk kita semua, kerana bapa lah yang bersusah payah membanting tulang mencari rezeki bagi memastikan anak-anaknya hidup selesa. Apa pun panggilan kita iaitu Bapa, Ayah, Abah, Abi, Papa, Daddy atau Abuyya maksudnya tetap sama, itu lah panggilan untuk seorang lelaki yang paling banyak berkorban untuk kita. Insan yang tidak pernah mengenal erti penat lelah demi bahgia keluarganya.

          Sempena hari bapa tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Bapa untuk setiap mereka yang bergelar bapa. 

Untuk kalian yang masih punya bapa, bahgiakan mereka, buatlah mereka bangga. Untuk kalian yang sudah tidak punya bapa, doakanlah kesejahteraan mereka di sana. Mudah-mudahan mereka ditempatkan di kalangan orang yang beriman. InsyaAllah.

Rosnah ARS

Menghayati Peristiwa Israk Mikraj

Assalammualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia


Tanggal 27 Rejab merupakan tanggal bersejarah untuk umat Islam di muka bumi ini. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab iaitu setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1. Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Saya kurang arif untuk mengupas lanjut tentang peristiwa Israk Mikraj ini, tetapi saya pasti sempena 27 Rejab ini pasti ada kuliah mengenainya di masjid dan surau di kawasan tempat tinggal kita.
Cuma, bagi saya Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya. Semoga kita semua sentiasa diberkati dan dirahmati Allah S.W.T.
Wallahu a’lam bish shawabi.
Rosnah ARS.

Thursday 14 June 2012

"Setiap Penderma adalah Wira"

Assalammualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

14 Jun 2012 merupakan hari menderma darah sedunia. Pada hari ini khususnya, segala perhatian diberikan untuk memberitahu dan menekankan kepada orang ramai betapa pentingnya darah yang didermakan kepada orang-orang yang memerlukan. Untuk pengetahuan kalian juga, setiap seorang penderma dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya 3 nyawa.  Tahun ini tema hari menderma darah sedunia ialah "Setiap Penderma adalah Wira".

Sebenarnya terdapat banyak faedah apabila seseorang itu mendermakan darah mereka. Misalnya, menderma darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih banyak sel darah baru yang secara tidak langsung akan meningkatkan taraf kesihatan penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh lebih baik berbanding sel lama. Selain itu juga, menderma darah akan membuat kalian rasa tenang kerana apabila menderma darah penderma dapat mengetahui kesihatan berada di tahap yang baik.

Alasan takut jarum atau mitos menderma darah akan menyebabkan empunya diri tidak cukup darah sebenarnya hanya karut semata-mata. Oleh itu, saya seru kalian semua agar pergi menderma darah kerana "SETIAP PENDERMA ADALAH WIRA".

Rosnah ARS.

Arahan Tangguh Haji oleh PAS Tidak Wajar


        Tindakan PAS mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya menangguhkan niat untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini saya lihat sebagai tindakan keterlaluan dan tidak wajar. Hal ini kerana, kita semua iaitu umat Islam tahu ibadat haji yang merupakan rukun Islam adalah lebih penting dari segalanya. Saya agak pelik kerana sebuah parti yang mengaku memperjuangkan agama tetapi mengarahkan ahlinya untuk menangguhkan melakukan ibadah haji yang merupakan rukun. Adakah PAS terlalu jahil untuk menilai perkara ini sehingga meletakkan kepentingan merebut kuasa itu lebih penting dari pahala ibadah. Bukankah tuntutan agama adalah yang paling utama.

          Selain itu juga, pada pendapat saya adalah sangat menghairankan apabila tiba-tiba saja PAS mereka-reka cerita mengenai tarikh bubar Parlimen dan Pilihanraya Umum, sedangkan tiada sebarang asas yang kukuh untuk mengandaikan cerita itu. Apakah asas mereka untuk meminta ahlinya menangguhkan niat melakukan ibadah haji atas alasan perlu menumpukan perhatian pada pilihanraya, sedangkan tidak ada langsung pengumuman daripada YAB Perdana Menteri tentang tarikh bubar Parlimen dan Pilihanraya Umum. Kemudian pula, mereka tiba-tiba menuduh Barisan Nasional tidak menghormati musim haji kerana mengadakan Pilihanraya pada musim tersebut.

          Saya melihat tindakan ini adalah sangat tidak wajar, parti PAS seolah-olah benar-benar terdesak untuk berkuasa sehingga meletakkan kepentingan mendapat kuasa lebih utama dari ibadah rukun.

Rosnah ARS

Monday 11 June 2012

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Hari ini (11 Jun 2012) bermula Sidang Dewan Rakyat Kedua bagi Penggal ke-5 Parlimen ke-12 2012, saya agak sibuk di Parlimen dan akan berada di Parlimen sepanjang minggu ini. 

Pagi tadi saya ada sesi perbincangan bersama-sama dengan HELP Uni Student dan Sdri. Wardina Saffiyah berkaitan Program Kesihatan Mental. Program ini merupakan sebuah program untuk menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Kemudian perbincangan bersama Persatuan Pemikir Muda untuk program Konvesyen Pemikir Muda yang dirancang akan dilaksanakan pada hujung bulan ini. Program ini merupakan sebuah program yang akan menghimpunkan orang muda dari pelbagai sektor pekerjaan yang akan berdiskusi dan mengemukakan pelbagai idea pembangunan dan dasar Negara dari sudut pandang mereka sebagai orang muda.

Ohh ya, sekarang ini musim Euro 2012. Kesibukkan saya menyebabkan saya tiada masa untuk menonton perlawanan walaupun sebenarnya saya merupakan peminat sukan bola sepak. Untuk EURO 2012 saya sokong England. Anda bagaimana? :)

Rosnah ARS

PERUTUSAN KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA 2012



Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, kita telah dapat melaksanakan satu lagi tanggungjawab kita kepada parti iaitu menjalankan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya. Menumpang semangat ini jualah, Pergerakan Puteri UMNO di seluruh Malaysia meneruskan perjuangan Alif, Ba dan Ta , agama, bangsa dan juga Tanah air kerana setiap dari kita akan disoal tentang tanggungjawab yang dipikul dan diamanahkan. 

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua adik-adik Puteri di peringkat akar umbi yang telah berusaha dan bekerja keras demi parti yang kita sayangi. Tahun ni merupakan Ulangtahun UMNO ke – 66 tahun, maknanya genap 66 tahun parti yang kita sanjungi ini MEMBELA RAKYAT.

Tahun ini, usia Pergerakan Puteri UMNO sudah 11 tahun. Dalam usia 11 tahun ini, ahli-ahli Puteri sudah melalui perjalanan perjuangan yang panjang dan berliku. Biarpun dihina, difitnah, kita dicaci, dimaki, tetapi sekali kita menjadi ahli Pergerakan Puteri UMNO, kita akan lawan kita akan tentang habis-habisan. Srikandi Puteri tidak pernah gentar dan kenal jalan pulang selagi kebenaran tidak kita genggam dan kita tatang.

Kita mahu setiap rakyat sedar, kita hadir sebagai pejuang hak mereka, pejuang cita-cita mereka. Kerana keselesaan hidup dan masa depan rakyat bukan soal yang boleh dijual di pentas politik sebab Puteri percaya maruah rakyat perlu kita pertahankan.

Kita sebenarnya berada di kemuncak cabaran yang menuntut pengorbanan yang lebih dari sekadar biasa tiap-tiap ahli Puteri. Nilai dan daya juang yang kita korbankan adalah mahar yang menentukan jatuh bangun parti kita pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Jika 12 pilihanraya sebelumnya, kita telah mengikat kepercayaan dan kesetiaan rakyat, kita telah menabur khidmat dengan ikhlas dan penuh tekad, tidak ada sebarang alasan untuk kita gadaikan kesetian rakyat pada Pakatan Pembangkang. Kerana itu, kita berjuang bukan kerana kita mahu mengekalkan tampuk kuasa, tetapi kita berjuang kerana ini tanggungjawab yang rakyat serahkan pada kita dan ini amanah yang kita harus pikul dari membiarkan Negara ini jatuh ke tangan pengkhianat dan petualang.

Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada persepsi dan aliran maklumat tanpa batas. Dalam sistem maklumat tanpa sempadan, demokrasi bukan hanya dikaji setiap inci malah rakyat sudah berani tampil dengan idea demokrasi ala mereka sendiri. Tahap kesedaran ini seharusnya menjadi petanda betapa kita juga harus matang dan terbuka dalam berjuang.

Sebahagian besar kumpulan ini merupakan generasi muda dan hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada mereka. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh diguna pakai pada masa dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan.

Oleh yang demikian, tugas kita yang paling penting kini adalah mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. PRU kali ini adalah paling getir dalam sejarah perjuangan kita, bukan calang-calang cabarannya.

walau tegak seribu halangan

walau punya seribu tentangan

walau terpancang seribu ranjau tajam

walau mengepung seribu musuh kejam.

Pandanglah ia sebagai cabaran.



Selamat Bersidang, semoga usaha kita semua diberkati Maha Pengasih.



YB DATUK ROSNAH HJ ABDUL RASHID SHIRLIN

KETUA PUTERI PERGERAKAN UMNO MALAYSIA