Assalammualaikum
dan Salam 1Malaysia
Keputusan
PRU-13 baru sahaja di umumkan 3 hari yang lalu. Alhamdulilah, kerusi yang saya
tandingi iaitu P175 Parlimen Papar menang dan majoriti sokongan juga meningkat.
Jika dibandingkan dengan PRU 12 yang lepas saya hanya memperoleh majoriti undi
9,574 tetapi untuk PRU kali ini saya memperoleh majoriti sebanyak 10,535.
Selain itu juga peratus hadir undi juga meningkat dari 77.18 peratus pada 2008
kepada 85.80 peratus pada PRU kali ini. Peningkatan hadir undi juga membuktikan
kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab kepada Negara.
Namun
begitu, erti sebenar kemenangan saya pada kali ini bukanlah pada meningkatnya
majoriti sokongan atau hadir undi tetapi adalah erti percaya warga Papar kepada
saya. Sungguh ia benar-benar bermakna buat saya.
Undi
yang diberi adalah tanda kepercayaan kepada saya untuk memperjuangkan kebajikan
warga Papar dan memastikan segalanya tersedia lengkap tanpa kurang. Undi ini
juga merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar untuk saya, saya
berjanji akan menjaga amanah yang diberi sebaik mungkin dan akan memberi
khidmat terbaik untuk warga Papar. Saya akan berusaha menjadikan Papar lebih
baik dari sebelum ini dan memastikan warga Papar dapat hidup selesa dengan
segala kemudahan prasarana awam seperti hospital, lampu jalan, sistem saliran
dan juga pusat aktiviti belia. Segalanya akan saya usahakan sebaik mungkin.
Saya
juga berjanji akan membaiki segala kekurangan sebelum ini, akan meningkatkan
mutu khidmat tidak kira sama ada diri saya sendiri atau pentadbiran Pejabat
Parlimen. Segalanya akan saya lakukan dengan terbaik demi memastikan bahawa
kepercayaan yang diberi kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sia-sia.
Yakin dan percayalah bahawa setiap satu undi percaya ini tidak akan saya
abaikan. InsyaAllah.
Selepas
PRU ini ada perkara yang perlu kita pulih dan jaga semula, saya kira semua
sedia maklum lawan saya pada PRU kali ini adalah ahli keluarga saya. Namun
begitu setelah usai tamat PRU ini hubungan kekeluargaan ini akan kembali erat
tanpa permusuhan. Pentas politik ini bukan untuk membuat musuh apatah lagi
sesama keluarga. Saya amat menghargai hubungan kekeluargaan ini, maka ia pasti
akan saya pelihara walau dalam pentas politik kami adalah lawan tetapi hubungan
kekeluargaan itu tidak akan putus dan rasa hormat saya tidak akan terhakis
walaupun sedikit.
Selain
itu, keputusan PRU-13 kali ini juga membuktikan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Sri
Najib tetap diterima oleh masyarakat Malaysia. Sokongan melalui undi yang
diberi kepada Barisan Nasional membuktikan bahawa segala usaha gigih YAB Dato’
Sri Najib diterima oleh rakyat. Walaupun Barisan Nasional hanya dapat
memerintah semula Negeri Kedah ia tetap bermakna buat pemerintahan Barisan
Nasional.
Barisan
Nasional menerima kegagalan memerintah semula di Pulau Pinang, Selangor dan
Kelantan dengan hati terbuka. Hal ini kerana Barisan Nasional menerima suara
hati rakyat, itu adalah pilihan rakyat. Barisan Nasional bukan seperti Pakatan
Rakyat yang mempertikaikan pilihan rakyat dengan mahu mengadakan demonstrasi
membantah keputusan yang telah disahkan. Saya kira Pakatan Rakyat perlu faham
bahawa ini adalah pilihan rakyat,rakyat yang memilih pemerintah yang mereka
rasakan layak untuk memperjuangkan nasib mereka.
Tindakan
Pakatan Rakyat yang merancang mahu mengadakan demonstrasi bantahan adalah
tindakan yang langsung tidak rasional. Hatta mereka tidak berpuas hati sekali
pun mereka sebenarnya mempunyai pilihan untuk menyalurkan bantahan tersebut
dengan boleh mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian
itu selepas pewartaan keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mereka
punya cara yang lebih aman dan rasional mengapa mahu memilih untuk menggunakan
kaedah berhimpun, demonstrasi dan sebagainya. Tindakan ini membuktikan bahawa
Pakatan Rakyat sebenarnya sengaja mahu mencetuskan huru hara dalam Negara. Saya
amat berharap rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi pembangkang.
Saya
juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon Barisan Nasional yang
memenangi kerusi di kawasan masing-masing. Kemenangan itu pastilah atas usaha
gigih jentera Barisan Nasional yang bekerja keras demi memastikan Barisan
Nasional kekal memerintah. Semoga kita semua dapat memberi khidmat terbaik
untuk rakyat kerana kita ini sudah menjadi milik rakyat. Saya juga ingin mengucapkan
tahniah kepada rakan-rakan saya dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang
memenangi kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi. Kemenangan mereka semua ini
membuktikan bahawa rakyat menerima dengan baik kepimpinan wanita muda.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera Barisan Nasional P175 Papar yang berkerja keras demi memastikan kemenangan Barisan Nasional. Sesungguhnya jasa kalian amat besar maknanya.
Semoga
setiap usaha perjuangan kita ini diberkati Maha Pengasih, dipermudahkan urusan
kita semua demi menjalankan amanah untuk rakyat, semoga kita berupaya
menunaikan segala janji dan ikrar.
Terima
kasih atas kepercayaan kepada Barisan Nasional.
Rosnah ARS.
Tahniah sekali Yang Berhormat atas kerjayaan itu. semoga segala perancangan pembangunan terutama di luar2 bandar dapat ditunaikan kerana itulah harapan rakyat jelata yang senantiasa menyokong dan mengharap dari kerajaan Barisan Nasional. Terima kasih juga kami ucapkan atas penghargaan yang berhormat atas sokongan kami kepada Barisan Nasional. Florensius B.
ReplyDelete