Alhamdullilah,
segala puji bagi Allah S.W.T yang
mengurniakan begitu banyak nikmat kepada kita semua di Malaysia. Syukur kita kehadrat Allah yang amat
menyantuni kehidupan kita dengan rahmat dan kasih sayangnya yang tiada
bernoktah. Perginya Ramadhan bukanlah bermakna berakhir sudah bulan untuk kita
terus mendampingi Allah. Malah kehadiran Syawal adalah tanda-tanda betapa
hampirnya kita kepada jalan menemui Allah.
Sepanjang sebulan Ramadhan kita
dapat menunaikan ibadat puasa
dengan cukup sempurna.
Tidak ada apa-apa gangguan
terhadap umat Islam di Malaysia berpuasa,
bersembahyang dan berterawih.
Semua yang wajib dan sunat dapat kita tunaikan dengan suasana aman dan
damai. Kita merasa amat bersyukur atas segala nikmat keamanan yang kita kecapi
ini. Semoga Ramadhan tahun ini menjadikan kita lebih baik dan terus menjadi
hamba yang taat pada perintah agamanya.
Hal ini kerana beribadah itu bukanlah hanya pada bulan ramadhan tetapi harus
dilakukan setiap hari dalam hidup kita agar kita mampu menjadi mukmin
sejati.InsyaAllah.
Beberapa hari lagi kita akan merayakan hari besar umat Islam, Hari
Raya Aidilfitri. Kita
akan rayakannya dalam keadaan
aman sentosa. Tahun ini juga, dalam kita menikmati Ramadhan dan Syawal
kita turut sama meraikan bulan kemerdekaan. Oleh itu, suka saya mengingatkan
sesama kita agar tidak lupa mengibarkan jalur gemilang tanda semangat patriotik
kita menghargai nikmat keamanan atas perih 55 tahun janji ditepati oleh parti
keramat UMNO dan Barisan Nasional yang kita sanjungi. Keselesaan yang kita nikmati
hari ini adalah atas usaha gigih pemimpin terdahulu dan diteruskan oleh
pemimpin hari ini yang sentiasa menepati dan mengotakan janji mereka terhadap
rakyat.
Oleh itu, sempena Ramadhan yang bakal
melabuh tirainya dan digantikan dengan Syawal yang mulia, saya dan keluarga
bersama barisan kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, warga Kementerian
Kesihatan Malaysia serta Pejabat Parlimen P175 Papar menyusun sepuluh jari
memohon ampun dan maaf atas segala khilaf zahir batin. Semoga Aidilfitri ini
mengeratkan ukhuwah sesama kita, menyatukan hati kita semua.InsyaAllah.
Salam Aidil Fitri dan Salam Kemerdekaan untuk anda semua.
Rosnah Abdul
Rashid Shirlin
No comments:
Post a Comment