Pemilihan UMNO akan berlangsung
pada Oktober 2013. Sebagai sebuah parti yang kukuh dan matang, prinsip demokrasi
kekal menjadi akar yang setia menunjangi pertumbuhan pucuk-pucuk baru dalam
pohon kepimpinan yang sedia ada. Disamping memperkasa pengalaman pemimpin yang
sedia ada,ruang untuk pemimpin baru berkhidmat dan berjuang juga terbuka
dengan adilnya.
Atas semangat ini, saya dengan
rasa rendah hati menawarkan diri
bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Selepas
bermuzakarah dan mempertimbang segala sudut pandang, keputusan ini di ambil
atas rasa penuh tangungjawab dan kesediaan saya untuk terus memperjuangkan
manhaj perjuangan parti.
Sebagai muka baru, saya
berjanji untuk memenuhi ruang dan peluang ini dengan penuh amanah, dedikasi,
setia serta bertanggungjawab terhadap Pergerakan Wanita UMNO khususnya dan UMNO
secara amnya.
InsyaAllah, saya yakin dan
percaya, atas izin Allah dengan laluan pengalaman saya
dalam politik bermula sebagai ahli Pergerakan Puteri kepada Ketua
Pergerkan Puteri UMNO Sabah kemudian Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
sehinggalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah memberi saya keazaman
untuk terus bersetia dan bersedia dalam
perjuangan parti. Seperti mana saya bermula dari bawah dalam Pergerakan Puteri,
begitulah jua saya memilih jalan yang sama untuk berkhidmat dari bawah sebagai Exco Pergerkan
Wanita UMNO kerana apa yang penting pada saya adalah nilai istiqamah dalam
perjuangan.
Sejujurnya keputusan ini juga
saya ambil kerana tanggungjawab untuk saya meneruskan perjuangan yang sedia ada
kepada parti, memperkukuhkan saf kepimpinan Wanita serta belajar meneroka jalan
perjuangan yang lebih berdaya, kompeten serta berani selari dengan nama
Pergerakan Wanita UMNO yang gah sebagai sayap kukuh parti.
Untuk
tujuan itu, saya menyokong kepimpinan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil kerana
percaya pada dinamisme kepimpinan beliau dalam membawa Pergerakan wanita UMNO
sebagai sebuah sayap parti yang berani dan di hadapan dalam membela kebajikan
serta perjuangan di segenap isu wanita. Saya bersedia untuk bersama saf
kepimpinan Wanita berjuang menganjak nilai dan martabat wanita, menggerakkan
transformasi yang proaktif dan pastinya yang lebih utama mendahulukan
perjuangan menjadikan Parti keramat ini kekal relevan kepada perjuangan bangsa.
Sebagai pemimpin Pergerakan
Puteri UMNO yang menawarkan diri bertanding dalam Pergerakan Wanita UMNO, saya
melihat ini sebagai satu transisi semulajadi yang mampu memperkasa parti. Untuk
setiap ahli Puteri yang telah melebihi had usia, maka secara automatik mereka
akan diserap sebagai ahli Wanita dan saya percaya setiap seorang dari mereka
bersedia untuk terus sedia, setia dan berkhidmat kepada parti. Inilah lambang
keterbukaan dan kematangan UMNO sebagai sebuah parti yang sentiasa di hadapan
dalam membina wasilah perjuangan membela wanita.
Dalam roh dan semangat
perjuangan ini juga, Pergerakan Wanita adalah umpama ibu kepada parti yang
pastinya boleh menerima anak yang telah dewasa ke dalam Pergerakan Wanita untuk
perlahan-lahan diajar dan dibentuk menjadi pejuang parti yang matang seperti
mereka. Sebagai seorang anak, kesemua ahli Puteri yang berhijrah ke Wanita
bersedia untuk belajar ‘resipi perjuangan dari air tangan ibu’ melalui jalan
pengkongsian kudrat dan pengalaman.
Jalinan
yang baik antara Pergerakan Wanita UMNO dan Pergerkan Puteri UMNO yang sedia
tersimpul erat kini akan menjadi tali pengikat perjuangan parti yang kekal
bertaut dan tidak akan putus sampai bila-bila.
Sekali lagi dengan rasa rendah
hati serta dengan keizinan dari Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa, saya
menawarkan khidmat bakti saya untuk bertanding dalam jawatan Exco Pergerakan
Wanita UMNO Malaysia.
Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin
No comments:
Post a Comment