Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Syukur alhamdulillah, sekali lagi umat
Islam di negara ini dapat menunaikan ibadat puasa dalam keadaan aman dan
sejahtera. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana di sepanjang
bulan Ramadan kita dikurniakan berbagai- bagai nikmat dan rezeki serta
kesihatan. Kita juga bersyukur kerana dihindari dan dijauhi oleh Allah SWT daripada penderitaan dan kepahitan hidup seperti yang
menimpa saudara muslimin dan muslimat kita di beberapa negara, akibat
peperangan di antara Islam dengan bukan Islam dan orang Islam sesama orang
Islam.
Adalah diharapkan setelah berjaya
menunaikan ibadat puasa yang wajib ini, kita akan menjadi insan yang lebih
insaf dan bertakwa. Mudah-mudahan dengan kita bersyukur, Allah Subhanahu wa
Ta'ala akan berkenan mengurniakan lebih banyak lagi rezeki dan menambahkan lagi
nikmat kepada kita di masa akan datang.
Ibadat puasa memberikan banyak hikmah,
manfaat dan pengajaran kepada kita. Di samping membantu membentuk akhlak dan
peribadi yang mulia, sepertimana yang dituntut oleh agama Islam, berpuasa
memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita mengenai kelaparan dan penderitaan
yang dialami oleh umat Islam yang kurang bernasib baik. Justeru itu, kita akan
lebih bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan lebih bertimbang rasa
serta insaf.
Hari Raya Aidilfitri di negara ini
disambut dengan meriah oleh kaum muslimin dan muslimat. Pada hari yang mulia
ini di samping kita bergembira, kita hendaklah juga bersyukur kerana kejayaan
kita menghadapi segala ujian ketabahan diri dan melawan segala bentuk nafsu.
Umat Islam hendaklah juga kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan di antara satu
sama lain.
Selain daripada kemenangan kita
menghadapi ujian ibadat puasa, kita juga bersyukur kerana negara kita aman dan
stabil. Ini membolehkan masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup aman
damai. Untuk meningkatkan lagi pembangunan negara dan mencapai hasrat kita
menjadikan Malaysia sebuah negara maju, adalah penting kestabilan politik dan
hubungan baik antara kaum ini sentiasa dipupuk dan ditingkatkan.Setelah melihat
bagaimana rusuhan yang dahsyat berlaku kerana perkauman di beberapa negara,
kita patut lebih menghargai keharmonian kita dan memelihara keharmonian ini
dengan baik.
Perpaduan di kalangan muslimin dan
muslimat adalah juga penting jika umat Islam ingin maju dan dihormati. Umat
Islam akan menjadi lemah dan tidak berupaya mencapai kemajuan jika kita tidak
bersatu. Kita telah melihat apa yang boleh berlaku apabila umat Islam berpecah
dan bermusuh sesama sendiri. Tidak ada satu pun kebaikan daripadanya.Hasil yang
jelas ialah musuh Islam menjadi lebih kuat dan angkuh. Oleh itu, marilah kita
dihari yang mulia ini, mempertingkatkan azam dan usaha untuk memperkukuhkan
lagi silatulrahim di kalangan umat Islam.
Kita juga bernasib baik kerana ekonomi
negara adalah kukuh. Kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah tinggi dan
menggalakkan. Tidak banyak negara di dunia, termasuk negara-negara maju, yang
berjaya mencatat pertumbuhan seperti kita. Ini adalah satu rahmat kepada
kita.Pencapaian ini adalah hasil daripada langkah-langkah bijak dan berani
kerajaan bersama rakyat. Pertumbuhan yang menggalakkan ini membolehkan rakyat
Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding dengan beberapa tahun
yang lalu. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini juga telah mewujudkan
banyak peluang perniagaan kepada ahli-ahli perniagaan dan peluang-peluang
pekerjaan kepada belia-belia kita.
Untuk menjamin ekonomi negara terus
berkembang pesat, adalah penting rakyat mengambil kesempatan daripada keamanan
dan kestabilan negara dengan bekerja kuat dan beramanah.Tanpa kesanggupan
bekerja keras dan berdisiplin, para pelabur, terutama dari luar negeri, sudah
tentu tidak akan melabur di negara kita. Janganlah kita mempunyai sikap atau
melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan peluang kita sendiri dan memburukkan
imej kita sebagai bangsa yang beramanah dan bertanggungjawab. Saya yakin jika
kita jujur, beramanah dan bertanggungjawab, ia tidak akan menghampakan
usaha-usaha untuk memajukan negara.
Saya mengambil kesempatan Hari Raya
Aidilfitri ini untuk menggesa umat Islam di negara ini supaya melipatgandakan
usaha untuk memperbaiki dan mengukuhkan kedudukan diri kita. Kita tidak harus
lupa bahawa agama Islam menggesa umatnya berusaha untuk memperolehi bahagian
mereka di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menentukan
bahawa bahagian umat Islam di dunia kurang daripada yang bukan Islam. Allah
Subhanahu wa Ta'ala juga tidak menentukan bahawa orang Islam dihina di dunia
sebelum mereka mendapat kebahagiaan di akhirat.
Kepada kaum muslimin dan muslimat
sekalian, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua
mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Saya percaya
mereka yang bukan beragama Islam akan turut merayakan hari yang mulia ini
dengan rakan-rakan Islam mereka. Mudah-mudahan ini akan mengeratkan lagi
persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.
Akhir kata, saya serta keluarga
saya,bersama warga Pusat Khidmat Wakil Rakyat P 175 Papar, Pejabat Timabalan
Menteri Kerja Raya dan Ibu Pejabat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memohon
maaf, zahir dan batin, atas apa juga kesilapan yang mungkin kami lakukan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Hati
– hati memandu di jalan raya dan semoga
Aidilfitri ini bermakna buat kalian semua.
Rosnah
Abd Rashid Shirlin
No comments:
Post a Comment