Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, kita telah dapat melaksanakan satu lagi tanggungjawab kita kepada parti iaitu menjalankan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya. Menumpang semangat ini jualah, Pergerakan Puteri UMNO di seluruh Malaysia meneruskan perjuangan Alif, Ba dan Ta , agama, bangsa dan juga Tanah air kerana setiap dari kita akan disoal tentang tanggungjawab yang dipikul dan diamanahkan.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua adik-adik Puteri di peringkat akar umbi yang telah berusaha dan bekerja keras demi parti yang kita sayangi. Tahun ni merupakan Ulangtahun UMNO ke – 66 tahun, maknanya genap 66 tahun parti yang kita sanjungi ini MEMBELA RAKYAT.
Tahun ini, usia Pergerakan Puteri UMNO sudah 11 tahun. Dalam usia 11 tahun ini, ahli-ahli Puteri sudah melalui perjalanan perjuangan yang panjang dan berliku. Biarpun dihina, difitnah, kita dicaci, dimaki, tetapi sekali kita menjadi ahli Pergerakan Puteri UMNO, kita akan lawan kita akan tentang habis-habisan. Srikandi Puteri tidak pernah gentar dan kenal jalan pulang selagi kebenaran tidak kita genggam dan kita tatang.
Kita mahu setiap rakyat sedar, kita hadir sebagai pejuang hak mereka, pejuang cita-cita mereka. Kerana keselesaan hidup dan masa depan rakyat bukan soal yang boleh dijual di pentas politik sebab Puteri percaya maruah rakyat perlu kita pertahankan.
Kita sebenarnya berada di kemuncak cabaran yang menuntut pengorbanan yang lebih dari sekadar biasa tiap-tiap ahli Puteri. Nilai dan daya juang yang kita korbankan adalah mahar yang menentukan jatuh bangun parti kita pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Jika 12 pilihanraya sebelumnya, kita telah mengikat kepercayaan dan kesetiaan rakyat, kita telah menabur khidmat dengan ikhlas dan penuh tekad, tidak ada sebarang alasan untuk kita gadaikan kesetian rakyat pada Pakatan Pembangkang. Kerana itu, kita berjuang bukan kerana kita mahu mengekalkan tampuk kuasa, tetapi kita berjuang kerana ini tanggungjawab yang rakyat serahkan pada kita dan ini amanah yang kita harus pikul dari membiarkan Negara ini jatuh ke tangan pengkhianat dan petualang.
Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada persepsi dan aliran maklumat tanpa batas. Dalam sistem maklumat tanpa sempadan, demokrasi bukan hanya dikaji setiap inci malah rakyat sudah berani tampil dengan idea demokrasi ala mereka sendiri. Tahap kesedaran ini seharusnya menjadi petanda betapa kita juga harus matang dan terbuka dalam berjuang.
Sebahagian besar kumpulan ini merupakan generasi muda dan hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada mereka. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh diguna pakai pada masa dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan.
Oleh yang demikian, tugas kita yang paling penting kini adalah mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. PRU kali ini adalah paling getir dalam sejarah perjuangan kita, bukan calang-calang cabarannya.
walau tegak seribu halangan
walau punya seribu tentangan
walau terpancang seribu ranjau tajam
walau mengepung seribu musuh kejam.
Pandanglah ia sebagai cabaran.
Selamat Bersidang, semoga usaha kita semua diberkati Maha Pengasih.
YB DATUK ROSNAH HJ ABDUL RASHID SHIRLIN
KETUA PUTERI PERGERAKAN UMNO MALAYSIA
No comments:
Post a Comment