Pages

Thursday 7 June 2012


Assalammualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

          Saya tertarik untuk memberi respon terhadap kenyataan SPR bahawa terdapat 3.6 juta rakyat Malaysia yang telah layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi. Jumlah yang bukan sedikit saya kira, malah 60 peratus daripadanya adalah generasi muda. Jumlah tersebut juga menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia tidak mengambil berat tentang kepentingan mereka untuk menjadi pengundi serta mengambil mudah urusan mendaftar dan mengundi. Mereka merasakan bahawa satu undi mereka itu tidak akan menjejaskan keadaan ataupun mereka berfikir masih ada ramai lagi yang mengundi.

          Undi ini adalah soal tanggungjawab kita kepada Negara,soal menentukan masa depan pemerintahan Negara kita. Hal ini kerana di Malaysia ini kepimpinan dan pemerintahan ditentukan oleh rakyat iaitu melalui sistem demokrasi iaitu melalui pelaksanaan sistem kepartian dan pilihan raya. Dalam soal ini kita semua perlu mengerti bahawa demokrasi merupakan suatu proses berterusan yang juga memerlukan dokongan semangat setiap warga, juga sebagai tanggungjawab yang dipikul dan disempurna. Tugas  itu akan terhenti apabila seseorang warga tidak berpartisipasi dalam proses pilihan raya, sebaliknya, membiarkan atau mengabaikan tanggungjawabnya kepada bahu pihak lain.

          Saya yakin dan pasti, 3.6 juta rakyat Malaysia yang belum berdaftar sebagai pengundi sedar akan tanggungjawab mereka pada Negara. Saya seru anda semua yang belum mendaftar sebagai pengundi agar pergilah mendaftar. Undi kalian adalah soal masa depan Negara, masa depan kalian dan anak cucu kalian.

Rosnah ARS