Pages

Wednesday 7 August 2013

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
          Syukur alhamdulillah, sekali lagi umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadat puasa dalam keadaan aman dan sejahtera. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana di sepanjang bulan Ramadan kita dikurniakan berbagai- bagai nikmat dan rezeki serta kesihatan. Kita juga bersyukur kerana dihindari dan dijauhi oleh Allah SWT daripada penderitaan dan kepahitan hidup seperti yang menimpa saudara muslimin dan muslimat kita di beberapa negara, akibat peperangan di antara Islam dengan bukan Islam dan orang Islam sesama orang Islam.
          Adalah diharapkan setelah berjaya menunaikan ibadat puasa yang wajib ini, kita akan menjadi insan yang lebih insaf dan bertakwa. Mudah-mudahan dengan kita bersyukur, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan berkenan mengurniakan lebih banyak lagi rezeki dan menambahkan lagi nikmat kepada kita di masa akan datang.
          Ibadat puasa memberikan banyak hikmah, manfaat dan pengajaran kepada kita. Di samping membantu membentuk akhlak dan peribadi yang mulia, sepertimana yang dituntut oleh agama Islam, berpuasa memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita mengenai kelaparan dan penderitaan yang dialami oleh umat Islam yang kurang bernasib baik. Justeru itu, kita akan lebih bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan lebih bertimbang rasa serta insaf.
          Hari Raya Aidilfitri di negara ini disambut dengan meriah oleh kaum muslimin dan muslimat. Pada hari yang mulia ini di samping kita bergembira, kita hendaklah juga bersyukur kerana kejayaan kita menghadapi segala ujian ketabahan diri dan melawan segala bentuk nafsu. Umat Islam hendaklah juga kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain.
          Selain daripada kemenangan kita menghadapi ujian ibadat puasa, kita juga bersyukur kerana negara kita aman dan stabil. Ini membolehkan masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup aman damai. Untuk meningkatkan lagi pembangunan negara dan mencapai hasrat kita menjadikan Malaysia sebuah negara maju, adalah penting kestabilan politik dan hubungan baik antara kaum ini sentiasa dipupuk dan ditingkatkan.Setelah melihat bagaimana rusuhan yang dahsyat berlaku kerana perkauman di beberapa negara, kita patut lebih menghargai keharmonian kita dan memelihara keharmonian ini dengan baik.
          Perpaduan di kalangan muslimin dan muslimat adalah juga penting jika umat Islam ingin maju dan dihormati. Umat Islam akan menjadi lemah dan tidak berupaya mencapai kemajuan jika kita tidak bersatu. Kita telah melihat apa yang boleh berlaku apabila umat Islam berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Tidak ada satu pun kebaikan daripadanya.Hasil yang jelas ialah musuh Islam menjadi lebih kuat dan angkuh. Oleh itu, marilah kita dihari yang mulia ini, mempertingkatkan azam dan usaha untuk memperkukuhkan lagi silatulrahim di kalangan umat Islam.
          Kita juga bernasib baik kerana ekonomi negara adalah kukuh. Kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah tinggi dan menggalakkan. Tidak banyak negara di dunia, termasuk negara-negara maju, yang berjaya mencatat pertumbuhan seperti kita. Ini adalah satu rahmat kepada kita.Pencapaian ini adalah hasil daripada langkah-langkah bijak dan berani kerajaan bersama rakyat. Pertumbuhan yang menggalakkan ini membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding dengan beberapa tahun yang lalu. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini juga telah mewujudkan banyak peluang perniagaan kepada ahli-ahli perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan kepada belia-belia kita.
        Untuk menjamin ekonomi negara terus berkembang pesat, adalah penting rakyat mengambil kesempatan daripada keamanan dan kestabilan negara dengan bekerja kuat dan beramanah.Tanpa kesanggupan bekerja keras dan berdisiplin, para pelabur, terutama dari luar negeri, sudah tentu tidak akan melabur di negara kita. Janganlah kita mempunyai sikap atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan peluang kita sendiri dan memburukkan imej kita sebagai bangsa yang beramanah dan bertanggungjawab. Saya yakin jika kita jujur, beramanah dan bertanggungjawab, ia tidak akan menghampakan usaha-usaha untuk memajukan negara.
          Saya mengambil kesempatan Hari Raya Aidilfitri ini untuk menggesa umat Islam di negara ini supaya melipatgandakan usaha untuk memperbaiki dan mengukuhkan kedudukan diri kita. Kita tidak harus lupa bahawa agama Islam menggesa umatnya berusaha untuk memperolehi bahagian mereka di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menentukan bahawa bahagian umat Islam di dunia kurang daripada yang bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala juga tidak menentukan bahawa orang Islam dihina di dunia sebelum mereka mendapat kebahagiaan di akhirat.
          Kepada kaum muslimin dan muslimat sekalian, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Saya percaya mereka yang bukan beragama Islam akan turut merayakan hari yang mulia ini dengan rakan-rakan Islam mereka. Mudah-mudahan ini akan mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.
          Akhir kata, saya serta keluarga saya,bersama warga Pusat Khidmat Wakil Rakyat P 175 Papar, Pejabat Timabalan Menteri Kerja Raya dan Ibu Pejabat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memohon maaf, zahir dan batin, atas apa juga kesilapan yang mungkin kami lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Hati – hati  memandu di jalan raya dan semoga Aidilfitri ini bermakna buat kalian semua.

Rosnah Abd Rashid Shirlin