Wednesday, 8 May 2013

Terima kasih Warga Papar


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Keputusan PRU-13 baru sahaja di umumkan 3 hari yang lalu. Alhamdulilah, kerusi yang saya tandingi iaitu P175 Parlimen Papar menang dan majoriti sokongan juga meningkat. Jika dibandingkan dengan PRU 12 yang lepas saya hanya memperoleh majoriti undi 9,574 tetapi untuk PRU kali ini saya memperoleh majoriti sebanyak 10,535. Selain itu juga peratus hadir undi juga meningkat dari 77.18 peratus pada 2008 kepada 85.80 peratus pada PRU kali ini. Peningkatan hadir undi juga membuktikan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab kepada Negara.

Namun begitu, erti sebenar kemenangan saya pada kali ini bukanlah pada meningkatnya majoriti sokongan atau hadir undi tetapi adalah erti percaya warga Papar kepada saya. Sungguh ia benar-benar bermakna buat saya.

Undi yang diberi adalah tanda kepercayaan kepada saya untuk memperjuangkan kebajikan warga Papar dan memastikan segalanya tersedia lengkap tanpa kurang. Undi ini juga merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar untuk saya, saya berjanji akan menjaga amanah yang diberi sebaik mungkin dan akan memberi khidmat terbaik untuk warga Papar. Saya akan berusaha menjadikan Papar lebih baik dari sebelum ini dan memastikan warga Papar dapat hidup selesa dengan segala kemudahan prasarana awam seperti hospital, lampu jalan, sistem saliran dan juga pusat aktiviti belia. Segalanya akan saya usahakan sebaik mungkin.

Saya juga berjanji akan membaiki segala kekurangan sebelum ini, akan meningkatkan mutu khidmat tidak kira sama ada diri saya sendiri atau pentadbiran Pejabat Parlimen. Segalanya akan saya lakukan dengan terbaik demi memastikan bahawa kepercayaan yang diberi kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sia-sia. Yakin dan percayalah bahawa setiap satu undi percaya ini tidak akan saya abaikan. InsyaAllah.

Selepas PRU ini ada perkara yang perlu kita pulih dan jaga semula, saya kira semua sedia maklum lawan saya pada PRU kali ini adalah ahli keluarga saya. Namun begitu setelah usai tamat PRU ini hubungan kekeluargaan ini akan kembali erat tanpa permusuhan. Pentas politik ini bukan untuk membuat musuh apatah lagi sesama keluarga. Saya amat menghargai hubungan kekeluargaan ini, maka ia pasti akan saya pelihara walau dalam pentas politik kami adalah lawan tetapi hubungan kekeluargaan itu tidak akan putus dan rasa hormat saya tidak akan terhakis walaupun sedikit.

Selain itu, keputusan PRU-13 kali ini juga membuktikan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib tetap diterima oleh masyarakat Malaysia. Sokongan melalui undi yang diberi kepada Barisan Nasional membuktikan bahawa segala usaha gigih YAB Dato’ Sri Najib diterima oleh rakyat. Walaupun Barisan Nasional hanya dapat memerintah semula Negeri Kedah ia tetap bermakna buat pemerintahan Barisan Nasional.

Barisan Nasional menerima kegagalan memerintah semula di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dengan hati terbuka. Hal ini kerana Barisan Nasional menerima suara hati rakyat, itu adalah pilihan rakyat. Barisan Nasional bukan seperti Pakatan Rakyat yang mempertikaikan pilihan rakyat dengan mahu mengadakan demonstrasi membantah keputusan yang telah disahkan. Saya kira Pakatan Rakyat perlu faham bahawa ini adalah pilihan rakyat,rakyat yang memilih pemerintah yang mereka rasakan layak untuk memperjuangkan nasib mereka.

Tindakan Pakatan Rakyat yang merancang mahu mengadakan demonstrasi bantahan adalah tindakan yang langsung tidak rasional. Hatta mereka tidak berpuas hati sekali pun mereka sebenarnya mempunyai pilihan untuk menyalurkan bantahan tersebut dengan  boleh mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas pewartaan keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mereka punya cara yang lebih aman dan rasional mengapa mahu memilih untuk menggunakan kaedah berhimpun, demonstrasi dan sebagainya. Tindakan ini membuktikan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya sengaja mahu mencetuskan huru hara dalam Negara. Saya amat berharap rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi pembangkang.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon Barisan Nasional yang memenangi kerusi di kawasan masing-masing. Kemenangan itu pastilah atas usaha gigih jentera Barisan Nasional yang bekerja keras demi memastikan Barisan Nasional kekal memerintah. Semoga kita semua dapat memberi khidmat terbaik untuk rakyat kerana kita ini sudah menjadi milik rakyat. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan saya dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi. Kemenangan mereka semua ini membuktikan bahawa rakyat menerima dengan baik kepimpinan wanita muda.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera Barisan Nasional P175 Papar yang berkerja keras demi memastikan kemenangan Barisan Nasional. Sesungguhnya jasa kalian amat besar maknanya.

Semoga setiap usaha perjuangan kita ini diberkati Maha Pengasih, dipermudahkan urusan kita semua demi menjalankan amanah untuk rakyat, semoga kita berupaya menunaikan segala janji dan ikrar.

Terima kasih atas kepercayaan kepada Barisan Nasional.

Rosnah ARS.