Pages

Thursday 1 August 2013

Tindakan Terhadap Pembuat Video 1 Hari di Hari Raya - Bantu Perbetulkan Akidah


Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengecam tindakan individu yang membuat video ‘1 Hari Di Hari Raya’ tersebut. Tindakan beliau ini merupakan penghinaan terhadap umat Islam di Malaysia apatah lagi ia dilakukan dalam bulan Ramadhan. Lebih menyedihkan lagi pembuat video tersebut merupakan seorang yang beragama Islam.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melihat individu ini bukan sahaja perlu dikenakan tindakan undang-undang atas sebab penghasilan video dengan niat memprovok umat Islam di Malaysia tetapi juga, individu ini perlu diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Malaysia kerana tindakan beliau memperlihatkan beliau mempunyai masalah dengan pegangan akidah sebagai umat Islam atau mungkin kurang pemahaman mengenai hukum.

Kita mungkin boleh menjatuhkan hukuman denda, penjara atau lain-lain hukuman, kita juga mungkin boleh mengecam beliau, memarahi beliau atas apa yang telah beliau lakukan. Tetapi perkara yang lebih penting adalah usaha kita untuk membantu untuk beliau memperbetulkan pegangan akidah agar perkara ini tidak menular ke dalam masyarakat.


Kita tidak mahu individu ini dikenakan tindakan undang-undang semata-mata kemudian apabila selesai menjalani hukuman beliau mengulangi perbuatan yang sama. Kita juga perlu menggarap usaha agar beliau berpasak pada pegangan akidah yang sebenar dan kukuh. Hal ini kerana tindakan yang dilakukan oleh beliau ini pasti bersangkut dengan pegangan agama beliau. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu beliau kembali kepada pegangan akidah yang sebenar.

Sunday 28 July 2013

19 Ramadhan

 Assalammualaikuum & Salam 1Malaysia

Hari ini 19 Ramadhan. Bermakna kita telah memasuki fasa 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. 10 Malam terakhir ini merupakan malam yang dinanti oleh umat Islam kerana dalam 10 malam terakhir ini terdapat 1 malam yang sangat besar hikmahnya iaitu malam Lailatul Qadar. Hamba Allah yang ditakdirkan bertemu dengan malam ini merupakan hamba Allah terpilih.

Hal ini kerana Lailatul Qadar yang dinyatakan di dalam al-Quran sebagai, “lebih baik daripada seribu bulan”. Apa-apa ibadah yang dilakukan pada malam ini seperti membaca al-Quran, mengingati Allah, dan lain-lain adalah lebih baik daripada beribadah untuk 1000 bulan yang tidak mengandungi malam Qadar. Maka sama-sama lah kita berdoa agar kita dipertemukan dengan malam yang penuh bermakna ini.

Dalam menjalani ibadah berpuasa ini, saya yakin dan percaya kita pasti dihadapkan dengan dugaan yang menguji diri. Sebagai manusia biasa pastinya kita kadang kala lemah untuk menghadapi ujian Allah. Namun bulan Ramadhan ini merupakan bulan yang mendidik kita bertahan dengan segala ujian dan menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya.

Semoga juga Ramadhan ini penuh makna buat kita semua, menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa. InsyaAllah.