Tuesday, 21 May 2013


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulilah, semalam 20 Mei 2013 saya memulakan tugas untuk hari pertama di Kementerian Kerja Raya. Segalanya berjalan dengan baik. Saya juga merasa terharu dengan sambutan dari kakitangan Kementerian Kerja Raya. Petang semalam juga Kementerian Kerja Raya telah memberi serba ringkas taklimat mengenai Kementerian ini bersama YB Menteri. 

Saya sangat menghargai amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh YAB Perdana Menteri kepada saya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya. Saya kira ini tugas yang cukup mencabar apatah lagi saya merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya Wanita pertama tetapi saya akan berusaha memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat. 

Untuk warga Kementerian Kesihatan Malaysia, terima kasih kepada nada semua memberi kerjasama yang amat baik kepada saya, yang membantu saya selama saya berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia. Semoga kita semua dapat menjalankan tugas dan amanah dengan baik demi Negara.





Semoga dipermudahkan urusan kita semua. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik menjalankan amanah.

Rosnah ARS

Wednesday, 8 May 2013

Terima kasih Warga Papar


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Keputusan PRU-13 baru sahaja di umumkan 3 hari yang lalu. Alhamdulilah, kerusi yang saya tandingi iaitu P175 Parlimen Papar menang dan majoriti sokongan juga meningkat. Jika dibandingkan dengan PRU 12 yang lepas saya hanya memperoleh majoriti undi 9,574 tetapi untuk PRU kali ini saya memperoleh majoriti sebanyak 10,535. Selain itu juga peratus hadir undi juga meningkat dari 77.18 peratus pada 2008 kepada 85.80 peratus pada PRU kali ini. Peningkatan hadir undi juga membuktikan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab kepada Negara.

Namun begitu, erti sebenar kemenangan saya pada kali ini bukanlah pada meningkatnya majoriti sokongan atau hadir undi tetapi adalah erti percaya warga Papar kepada saya. Sungguh ia benar-benar bermakna buat saya.

Undi yang diberi adalah tanda kepercayaan kepada saya untuk memperjuangkan kebajikan warga Papar dan memastikan segalanya tersedia lengkap tanpa kurang. Undi ini juga merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar untuk saya, saya berjanji akan menjaga amanah yang diberi sebaik mungkin dan akan memberi khidmat terbaik untuk warga Papar. Saya akan berusaha menjadikan Papar lebih baik dari sebelum ini dan memastikan warga Papar dapat hidup selesa dengan segala kemudahan prasarana awam seperti hospital, lampu jalan, sistem saliran dan juga pusat aktiviti belia. Segalanya akan saya usahakan sebaik mungkin.

Saya juga berjanji akan membaiki segala kekurangan sebelum ini, akan meningkatkan mutu khidmat tidak kira sama ada diri saya sendiri atau pentadbiran Pejabat Parlimen. Segalanya akan saya lakukan dengan terbaik demi memastikan bahawa kepercayaan yang diberi kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sia-sia. Yakin dan percayalah bahawa setiap satu undi percaya ini tidak akan saya abaikan. InsyaAllah.

Selepas PRU ini ada perkara yang perlu kita pulih dan jaga semula, saya kira semua sedia maklum lawan saya pada PRU kali ini adalah ahli keluarga saya. Namun begitu setelah usai tamat PRU ini hubungan kekeluargaan ini akan kembali erat tanpa permusuhan. Pentas politik ini bukan untuk membuat musuh apatah lagi sesama keluarga. Saya amat menghargai hubungan kekeluargaan ini, maka ia pasti akan saya pelihara walau dalam pentas politik kami adalah lawan tetapi hubungan kekeluargaan itu tidak akan putus dan rasa hormat saya tidak akan terhakis walaupun sedikit.

Selain itu, keputusan PRU-13 kali ini juga membuktikan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib tetap diterima oleh masyarakat Malaysia. Sokongan melalui undi yang diberi kepada Barisan Nasional membuktikan bahawa segala usaha gigih YAB Dato’ Sri Najib diterima oleh rakyat. Walaupun Barisan Nasional hanya dapat memerintah semula Negeri Kedah ia tetap bermakna buat pemerintahan Barisan Nasional.

Barisan Nasional menerima kegagalan memerintah semula di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dengan hati terbuka. Hal ini kerana Barisan Nasional menerima suara hati rakyat, itu adalah pilihan rakyat. Barisan Nasional bukan seperti Pakatan Rakyat yang mempertikaikan pilihan rakyat dengan mahu mengadakan demonstrasi membantah keputusan yang telah disahkan. Saya kira Pakatan Rakyat perlu faham bahawa ini adalah pilihan rakyat,rakyat yang memilih pemerintah yang mereka rasakan layak untuk memperjuangkan nasib mereka.

Tindakan Pakatan Rakyat yang merancang mahu mengadakan demonstrasi bantahan adalah tindakan yang langsung tidak rasional. Hatta mereka tidak berpuas hati sekali pun mereka sebenarnya mempunyai pilihan untuk menyalurkan bantahan tersebut dengan  boleh mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas pewartaan keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mereka punya cara yang lebih aman dan rasional mengapa mahu memilih untuk menggunakan kaedah berhimpun, demonstrasi dan sebagainya. Tindakan ini membuktikan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya sengaja mahu mencetuskan huru hara dalam Negara. Saya amat berharap rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi pembangkang.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon Barisan Nasional yang memenangi kerusi di kawasan masing-masing. Kemenangan itu pastilah atas usaha gigih jentera Barisan Nasional yang bekerja keras demi memastikan Barisan Nasional kekal memerintah. Semoga kita semua dapat memberi khidmat terbaik untuk rakyat kerana kita ini sudah menjadi milik rakyat. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan saya dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi. Kemenangan mereka semua ini membuktikan bahawa rakyat menerima dengan baik kepimpinan wanita muda.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera Barisan Nasional P175 Papar yang berkerja keras demi memastikan kemenangan Barisan Nasional. Sesungguhnya jasa kalian amat besar maknanya.

Semoga setiap usaha perjuangan kita ini diberkati Maha Pengasih, dipermudahkan urusan kita semua demi menjalankan amanah untuk rakyat, semoga kita berupaya menunaikan segala janji dan ikrar.

Terima kasih atas kepercayaan kepada Barisan Nasional.

Rosnah ARS.

Wednesday, 1 May 2013

Selamat Hari Pekerja


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Hari ini 1 Mei 2013 merupakan Hari Pekerja Sedunia. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja di Malaysia.

Menjadi seorang pekerja di sebuah Negara seperti Malaysia saya kira merupakan nikmat yang tidak terdapat di semua Negara. Hal ini kerana di Negara kita ini kita semua dapat berkerja secara aman dan nasib kita sebagai pekerja juga terbela.

Seperkara juga yang harus kita sedar, kemajuan pesat ekonomi Negara kita di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional menyediakan kepada kita semua pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Kewujudan peluang pekerjaan untuk kita semua membolehkan kita semua mempunyai pendapatan tetap dan dapat menjalani hidup dengan baik.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua pekerja di Malaysia dapat memberikan khidmat yang terbaik dan komited kepada tugasan masing-masing demi memastikan ekonomi Negara berlangsung dengan baik.

Semoga kepercayaan anda kepada Barisan Nasional dapat diteruskan demi memastikan ekonomi Malaysia produktif.

#BNBagus
#Vote4BN
#mensejahterarakyat
Rosnah ARS

Saturday, 27 April 2013

Transformasi BN


Assalammualaikum wbt dan Salam 1Malaysia

Hari ini 27 April 2013, sudah seminggu tempoh kempen berlalu. Dalam tempoh seminggu ini jadual harian saya cukup padat. Memegang amanah sebagai Wakil Barisan Nasional di Parlimen P 175 Papar untuk kali ke – 3 merupakan amanah yang cukup besar diberi oleh pucuk pimpinan demi mempertahankan kerusi Barisan Nasional di Papar.  

Seperti semua sedia maklum, pada Pilihanraya kali ini Barisan Nasional telah memperkenalkan ramai calon baru. Dalam kalangan pemimpin Pergerakan Puteri UMNO sendiri seramai 9 orang termasuk saya sendiri diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan mewakili Barisan Nasional. Ramai orang bertanya kepada saya soal perubahan yang dibuat oleh Barisan Nasional. Maka saya melihat perkara ini dari sudut positif. Soal perletakkan calon muda dan muka baru  ini merupakan transformasi Barisan Nasional dalam mengiktiraf orang muda dan melakukan perubahan demi parti. Apatah lagi kita semua maklum 42 peratus pengundi kali ini merupakan orang muda maka saya melihat pemilihan calon muda ini merupakan tindakan yang terbaik.

Saya juga melihat pemilihan calon yang dipertandingkan dalam PRU-13 ini sama ada di peringkat Parlimen mahu pun DUN merupakan gandingan anak muda dan orang lama dan merupakan gandingan yang terbaik demi memastikan Negara diteraju oleh pemimpin yang sentiasa diterima oleh segenap lapisan rakyat. Saya amat yakin dan pasti rombakan ini mampu memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional.

Oleh itu, Selamat Berjuang dan Bekempen untuk semua. Selamat Berkerja demi memastikan kemenangan parti.

Rosnah ARS


Monday, 8 April 2013

#ManifestoAkuJanjiBN #Vote4BN


Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia.

          Selepas YAB Datuk Sri Najib mengumumkan pembubaran Parlimen pada 03 April yang lalu,beliau kemudiannya melancarkan manifesto Barisan Nasional. Saya terpanggil untuk mengulas sedikit mengenai manifesto yang dibentang beliau.

          Beliau memulakan ucapan tersebut dengan perkara yang saya kira cukup penting,iaitu soal dakwaan Pakatan Rakyat bahawa manifesto bukanlah satu janji yang perlu dipatuhi. Beliau pula menegaskan bahawa untuk BN, manifesto yang dilancarkan pada malam 6 April lalu adalah satu Aku Janji kepada rakyat. Kata-kata beliau itu menunjukkan betapa Barisan Nasional bersungguh-sungguh untuk mengotakan setiap janji. Hal ini kerana  kecekapan dan rekod Barisan Nasional dalam menunaikan janji-janji sebelum ini jelas terbukti dengan pelbagai kejayaan yang telah dikecapi oleh Malaysia sejak BN mula memerintah sehingga kini.

          Manifesto yang dibentangkan dipecah dalam 17 bidang utama yang saya kira cukup lengkap dalam memenuhi pembangunan Negara dan kebajikan rakyat. Ia juga adalah sebagai janji dan komitmen BN. Saya berani menyatakan ini adalah manifesto yang terbaik dan paling lengkap. 

            Oleh itu saya menyeru rakyat Malaysia agar Undilah Barisan Nasional pada PRU nanti. Barisan Nasional pasti akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekali gus membina sebuah Malaysia yang lebih maju dan makmur pada masa akan datang.

Rosnah ARS