Pages

Wednesday 30 May 2012

Isu Pendedahan Raja Petra

Raja Petra
Pendedahan oleh Raja Petra mengenai dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR), pada masa itu untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap Setiausaha Sulit beliau ketika itu, Azmin Ali berhubung siasatan kes kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh Azmin dan isterinya Shamsidar adalah bukan satu pendedahan yang mengejutkan. Malah, pendedahan ini terus mencerminkan peribadi sebenar pemimpin pembangkang ini yang telah campur tangan dalam siasatan BPR tersebut yang mana pada masa itu mempunyai bukti-bukti yang cukup untuk menahan dan mendakwa Azmin atas kesalahan rasuah kerana mempunyai harta kekayaan yang luarbiasa walaupun hanya berpendapatan sebagai penjawat awam pada 17 tahun yang lalu. 

Pergerakan Puteri UMNO mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka siasatan atas pendedahan ini kerana ini juga melibatkan integriti Pegawai Kanan Badan Pencegah Rasuah pada masa itu yang telah bertindak di luar bidang kuasa sewaktu menutup kertas siasatan itu. Ini jelas bertentangan dengan apa yang dilaung-laungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin yang sentiasa mengecam kerajaan Barisan Nasional kini yang dikatakan penuh dengan amalan rasuah. Yang jelasnya, dakwaan yang didedahkan oleh Raja Petra ini wajar disiasat dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pemimpin pembangkang dan pihak-pihak yang terlibat dalam dakwaan ini. 

Pergerakan Puteri UMNO juga ingin melihat penjelasan yang akan diberikan oleh pemimpin-pemimpin lain dalam PKR seperi Zuraida, Nurul Izzah dan juga Srikandi PKR berhubung dengan dakwaan ini. Adakah mereka akan juga meminta supaya kes ini disiasat atau ada "double standard" dalam parti pembangkang ini kerana dakwaan ini melibatkan pemimpin-pemimpin kanan dalam PKR. Jika benar dakwaan ini, pendedahan ini akan terus membuktikan kepincangan dan amalan rasuah yang berlaku di dalam kepimpinan tertinggi PKR yang kononya mengamalkan kepimpinan yang telus dan bersih. 

Assalammualaikum, Salam 1Malaysia

Alhamdulilah, hari ini ada sedikit kelapangan untuk menulis di sini. 
Saya berada di Sabah ketika ini dan agak sibuk menghadiri Sambutan Tadau Keamatan atau Pesta Menuai. 

Sekadar berkongsi, di Negeri Sabah Pesta ini disambut secara meriah dan besar-besaran. Perayaan ini saya sambut sejak kecil dan memandangkan juga saya sendiri mempunyai darah campuran kadazan pastilah perayaan ini cukup sebati dengan saya dan keluarga. Setiap tahun, Tadau Keamatan ini akan menjadi hari berkumpulnya ahli keluarga, adik beradik dan sahabat handai. Maka secara tidak langsung ia menjadi hari besar keluarga.

Untuk mereka yang menyambut Tadau Keamatan, saya ucapkan Selamat Menyambut Tadau Keamatan "Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan"





Wawancara bersama Utusan


Bagaimana Datuk melihat kekuatan dan sumbangan Pergerakan Puteri UMNO dalam berjuang bersama-sama untuk menguatkan parti UMNO.
Saya melihat Pergerakan Puteri UMNO dalam usia 11 tahun penubuhannya benar-benar memahami perjuangan UMNO. Kematangan dan kedewasaan Pergerakan ini sudah berada ditahap yang boleh dibanggakan. Kekuatan Puteri adalah berbeza dengan dua sayap yang lain. Puteri mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam berjuang untuk parti. Jika dilihat tujuan asal penubuhan Puteri sebagai salah satu sayap utama parti ialah menjadi perintis kepada perubahan terhadap dua perkara, iaitu Teknologi Maklumat dan Generasi Muda. Maka, kedua-dua elemen ini kita bangunkan sebaik mungkin sebagai asas dan matlamat perjuangan untuk menguatkan parti. Dan hari ini Pergerakan Puteri UMNO jelas di hadapan dalam menyediakan keperluan teknologi maklumat dalam arus media baru sehingga kita telah dikenali sebagai pemegang kunci azimat maklumat maya. Pengenalan ‘Cyber Troopers’ adalah lambang betapa kita di hadapan dalam usaha merakyatkan penggunaan teknologi dan semua maklumat ini diurus tadbir dengan berhikmah. Puteri juga sentiasa terbuka dalam memahami dan mendekati secara berhikmah keperluan dan kehendak generasi muda. 

Sumbangan Pergerakan ini kepada UMNO adalah merujuk kepada banyak perkara. Pergerakan ini berusaha secara total dalam melaksanakan pelbagai program mendekati rakyat demi memastikan UMNO kekal sebagai juara di hati rakyat, UMNO kekal sebagai parti yang terus membela rakyat. Melalui 15 ikon utama program, Pergerakan ini gigih mendekati rakyat pelbagai bangsa dan golongan tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah. Pergerakan ini benar – benar parti UMNO kekal menjadi parti yang terus memerintah Negara.

Cabaran Pergerakan Puteri UMNO dalam menangani puak liberal yang terdiri dalam kalangan orang muda.
Cabaran dalam berjuang itu sentiasa ada, kerana itulah resam berjuang.Dalam menangani puak liberal ini, cabaran yang dihadapi ialah kesukaran untuk mereka mempercayai apa yang benar. Hal ini kerana kebanyakan mereka yang merupakan generasi muda yang masih mentah, sangat mudah terpengaruh dengan permainan politik pihak lawan. Namun, Pergerakan Puteri UMNO tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha mendekati mereka melalui pelbagai kaedah cara. Pergerakan Puteri tidak pernah melihat puak ini sebagai golongan yang perlu dijauhi atau dibiarkan, tetapi perlu didekati secara diplomasi.

Bagaimana Pergerakan Puteri UMNO setakat ini memberi penjelasan tentang apa-apa isu berbangkit terutamanya melalui laman sosial?
Pergerakan Puteri UMNO yang sememangnya berperanan sebagai jentera IT di dalam parti aktif menangkis apa-apa isu berbangkit. Pergerakan ini telah menubuhkan Cyber Troopers yang mana pasukan ini bukan sahaja dilatih bertahan daripada serangan pembangkang tetapi juga diajar teknik menyerang pembangkang. Pasukan sentiasa diberi latihan dan dipantau dari semasa ke semasa. Melalui program Cyber Troopers ini kita telah memiliki 532 bolggers terlatih, 1,992 506 pengunjung kepada laman sosial, laman web dan blog yang kita bangunkan, 11,943 pengikut blog, 600 orang kumpulan utama blogger yang menyokong perjuangan kita dan sehingga ke hari ini. Ahli Pergerakan Puteri juga sentiasa peka terhadap isu berbangkit dan mencuba sepantas mungkin untuk memberi penjelasan terhadap segala isu. 

Bagaimana Pergerakan Puteri menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO, dan setakat ini berapakah jumlah keahlian Pergerakan Puteri UMNO?
Pergerakan Puteri UMNO menjalankan pelbagai aktiviti yang mampu menarik golongan muda untuk dekat dengan UMNO. Misalnya, melalui aktiviti sukan Pergerakan ini telah menganjurkan Kejohanan Futsal Wanita terbuka yang telah disertai oleh 96 pasukan yang kesemuanya adalah golongan wanita muda. Kemudian Pergerakan ini juga menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Terbuka yang juga disertai oleh golongan muda bukan sahaja wanita tetapi golongan lelaki. Pergerakan Puteri UMNO juga menganjurkan sesi ramah mesra bersama golongan muda yang aktif dalam bidang pengucapan awam, saya sendiri selaku pemimpin di dalam Pergerakan ini beramah mesra dengan mereka secara dekat tanpa batas dan protokol.

Golongan muda ini perlu kita dekati dengan pendekatan yang mereka suka, mereka mahu suara dan idea mereka diraikan. Kita perlu memahami minat dan jiwa mereka, jangan sampai mereka fikir kita adalah penentang mereka. Jika mereka salah kita perlu tegur mereka dengan cara berhikmah bukan mengecam mereka tanpa usul periksa. Kita mahu mereka ini menyertai kita bukan sekadar untuk meraih undi dan pangkah kita, tetapi kita mahu mereka bersama-sama dalam barisan pejuang kita. Dan kita juga harus sedar bahawa zaman muda adalah zaman untuk mengeksplorasi segala perkara ditambah dengan akses pada media baru yang luas dan tanpa batas. Mereka berinteraksi dengan ribuan individu lain di alam maya, yang hadir dgn pelbagai pandangan dan persepsi, dan ini menjadikan mereka berfikir dan berdiri dengan pendirian mereka sendiri. Kita harus hormati hak mereka dan terbuka memimpin dengan matang dan berhikmah agar mereka menggunakan hak mereka di jalan yang betul. Puteri akan terus mendekati kelompok ini untuk dibawa masuk ke dalam barisan perjuangan kita.
Sehingga 26 April 2012, jumlah keahlian Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ialah seramai 383,805 orang.

Pada pendapat Datuk, bagaimana mahu menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang menarik untuk disertai golongan muda.
Pada pandangan saya sebenarnya UMNO merupakan sebuah parti yang cukup relevan untuk golongan muda. Namun, perjuangan UMNO itu sendiri perlu sentiasa remaja dan muda selalu. Para pemimpin tidak kira di peringkat mana sekalipun perlu lebih terbuka dan kreatif demi memastikan parti kekal menarik dengan orang muda. Pemimpin parti perlu selalu mengemaskini corak perjuangan agar selari dengan golongan muda. Hal ini kerana, golongan muda hari ini tidak sama dengan golongan muda 10 tahun lalu maka rentak berjuang juga adalah tidak sama. 

Golongan muda ada yang melihat parti UMNO ini hanya untuk golongan veteran kerana rentak perjuangan yang tidak sesuai dengan jiwa dan kehendak mereka. Mereka merasakan menyertai UMNO akan kelihatan kuno dan mereka tidak ‘up to date’. Atas sebab itulah UMNO perlu remaja dan muda selalu agar golongan muda tidak melihat parti UMNO sebagai parti untuk orang tua. Kita perlu peka terhadap perkembangan mereka, jangan sesekali menjauhi mereka hanya kerana mereka tidak sependapat dengan kita, menganggap mereka musuh apabila mereka mengkritik idea kita. Perkara-perkara sebegini yang menyebabkan mereka semakin jauh dengan kita, mereka merasakan ada jurang antara kita dan mereka.

Tetapi saya dapat melihat UMNO dibawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Presiden ini remaja dan muda selalu. Pendekatan yang digunakan mampu menarik golongan muda menyertai UMNO dan suka kepada UMNO. Kaedah kepimpinan YAB Dato’ Sri yang terbuka menjadikan orang muda merasakan parti UMNO adalah parti yang mampu menunaikan hasrat dan permintaan mereka. Secara berperingkat transformasi UMNO semakin remaja dan muda dibawah kepimpinan beliau. Pendekatan yang digunakan juga adalah disesuaikan dengan golongan muda. Langkah ini dilihat mampu meningkatkan partisipasi golongan muda kepada UMNO.

Ada Pihak Kawal PAS Untuk Bermuzakarah Dengan UMNO- Rosnah


Kuala Lumpur, 23 Mei- Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang menolak spekulasi cadangan muzakarah antara UMNO dan PAS dan mengaitkan bahawa ini adalah permainan politik UMNO menggambarkan ada pihak-pihak yang tertentu yang mengawal tindak-tanduk parti itu.
Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Binti Haji Abd Rashid Shirlin berkata, ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin parti ini mungkin bertuankan dengan pihak yang lain di luar daripada PAS dan mempunyai agenda politik yang peribadi.
“Sebenarnya, Presiden PAS tersebut tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak cadangan muzakarah tersebut yang dicadangkan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.  Di kalangan para pemimpin PAS itu sendiri ada yang menolak cadangan muzakarah tersebut.
Oleh itu, jelas kecelaruan pendapat di kalangan para pemimpin parti ini. Walau bagaimanapun, Mursyidul Am PAS itu pula telah menerapkan tiga syarat kepada UMNO sebelum mengadakan muzakarah ini. Tetapi, yang nyatanya para pemimpin PAS itu sendiri perlu bermuzakarah sesama mereka untuk mencapai sepakat bahawa muzakarah dengan UMNO dapat direalisasikan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pergerakan Puteri UMNO menggesa supaya segala kekeliruan terutamanya di kalangan pemimpin PAS ini dapat diselesaikan dan muzakarah antara UMNO dan PAS dapat diadakan. Muzakarah yang hendak dilakukan harus mengenepikan segala fahaman politik mana-mana parti demi kesarwajagatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
“Jika mana-mana pihak terus menerus memberikan alasan dan dolak-dalik dalam usaha untuk mencapai kesepakatan, bangsa Melayu akan terus rugi dan berpecah dan pihak-pihak lain yang berkepentingan peribadi pasti akan mengambil kesempatan atas kelemahan ini.
Sewajarnya, harapan Puteri UMNO ialah agar muzakarah yang hendak dilakukan dapat membantu menyelesaikan belenggu masalah-masalah yang membabitkan umat Islam di negara ini. Yang paling penting bahawa niat yang ikhlas perlu ada bagi memastikan muzakarah yang hendak dilakukan mencapai matlamatnya,” tambahnya lagi. -MalaysiaView

Puteri UMNO Kerja Keras Pastikan BN Kekal Memerintah


Kuala Lumpur, 11 Mei — Pergerakan Puteri Umno terus berusaha gigih dengan menyebarluaskan khidmatnya kepada rakyat dalam usaha membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang untuk kekal memerintah negara.
Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata walaupun Puteri Umno masih “muda” dalam dunia politik, namun peranannya sama penting dengan pergerakan lain parti itu dalam memperkasakan Umno.
“Memang benar kita tiada semasa Umno di awal penubuhannya dan semasa ia berjuang memerdekakan negara, tetapi kelahiran Puteri Umno dalam era ‘millennium’ telah membantu parti terutamanya dalam menarik golongan muda.
“Sempena ulang tahun Umno ke-66, saya berharap semua ahli Puteri akan sentiasa komited memastikan Umno terus di hati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan konvoi Sambutan Hari Jururawat, Ibu dan Guru anjuran Puteri UMNO sempena ulang tahun parti itu di sini, hari ini.
Puteri Umno dilancarkan pada 3 Ogos 2001 oleh Presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rosnah berkata pergerakan itu juga sentiasa menambah baik khidmat mereka dalam mendekatkan diri kepada rakyat.
“Kita sentiasa berhadapan dengan cabaran berbeza dan senario politik yang lebih mencabar. Saya meminta ahli Puteri supaya siap siaga dengan membina kekuatan fizikal dan mental,” katanya.
Konvoi itu, yang disertai 20 kereta ahli-ahli Puteri Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, akan melawat Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur bagi meraikan 680 orang jururawat sempena Hari Jururawat esok.
Rosnah turut menyampaikan pelekat kereta konvoi itu kepada semua ketua Puteri Umno negeri bagi menyeragamkan konvoi itu di negeri masing-masing sepanjang bulan ini.

KEJADIAN KERACUNAN MAKANAN YANG DISYAKI BERPUNCA DARIPADA PENGAMBILAN SUSU UHT BERJENAMA MAT PINTAR DI BAWAH PROGRAM SUSU KERAJAAN NEGERI SABAH

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia,
YB Datuk Rosnah Rashid Shirlin.


KEJADIAN KERACUNAN MAKANAN YANG DISYAKI BERPUNCA DARIPADA PENGAMBILAN SUSU UHT BERJENAMA MAT PINTAR DI BAWAH PROGRAM SUSU KERAJAAN NEGERI SABAH


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar Borneo Post bertarikh 20 Mei 2012 mengenai kejadian keracunan makanan di SJK (C) Lok Yuk pada 18 Mei 2012.  Berita tersebut melaporkan sejumlah 44 orang pelajar dari  SJK(C) Lok Yuk di Menggatal, Sabah telah dilaporkan mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat sewaktu rehat.


Kejadian ini disyaki berpunca daripada pengambilan susu UHT berjenama Mat Pintar yang diedarkan di bawah program susu kerajaan negeri Sabah. KKM sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian keracunan makanan di SRJK(C) Lok Yuk, Menggatal, Sabah. Sampel telah diambil untuk analisis. Sebagai langkah pencegahan, KKM telah melak semua baki stok susu UHT di sekolah tersebut.


Sementara itu, bagi  kejadian di SK St Francis Convent, Kota Kinabalu yang melibatkan 8 orang pelajar, siasatan sedang dijalankan dan sampel susu UHT berjenama Mat Pintar telah diambil bagi analisis. KKM telah melak semua baki stok susu UHT di sekolah tersebut.


Sehubungan ini, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Kinabalu telah dimaklumkan supaya susu UHT tidak diedarkan kepada pelajar disekolah-sekolah terbabit di sekitar Kota Kinabalu buat sementara waktu.




YB DATUK ROSNAH HAJI ABDUL RASHID SHIRLIN
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia


25 Mei 2012