Tuesday, 1 October 2013

Selamat Bersidang & Selamat Memilih

Bismillah Nirahman Nirahim

Assalammualaikum wbt dan Salam 1Malaysia

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sekali lagi bersama-sama menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai ahli UMNO. Apatah lagi tahun ini merupakan tahun ini merupakan tahun pemilihan UMNO. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala supaya kita diberi hidayat dan petunjukNya bagi menjayakan pemilihan UMNO ini mengikut lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan tradisi parti demi keutuhan perjuangan murni parti UMNO.
Permata UMNO sekalian,

        UMNO adalah harapan orang-orang Melayu. Segala-galanya yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan UMNO. Kita telah menangkis Malayan Union, kita telah mencapai kemerdekaan, kita telah mengisikan kemerdekaan ini dengan pembangunan, kita telah meningkatkan ekonomi dan pelajaran orang-orang Melayu dengan menggunakan kekuatan yang kita dapati daripada UMNO. Jika UMNO berjaya menghasilkan semua ini sebabnya bukanlah semata-mata kerana UMNO merupakan sebuah pertubuhan yang bersemangat kebangsaan. Semangat kebangsaan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan dan semua parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan memang mempunyai semangat kebangsaan. Bahkan banyak parti-parti politik yang lebih kuat semangat kebangsaan mereka daripada UMNO.

        Tetapi setelah merdeka, banyak parti-parti politik kebangsaan di lain-lain negara tidak dapat memerintah dengan sempurna dan membawa kebahagiaan kepada bangsa mereka. Bermacam-macam masalah dan penyakit menyerang parti-parti ini. Akibatnya negara yang mereka bebaskan daripada penjajah menjadi lemah dan mundur dan rakyat menderita lebih daripada di zaman penjajah. Banyak daripada parti-parti ini bertukar corak dan mengenepikan demokrasi. Banyak yang berpecah dan hilang begitu sahaja.

        Sebaliknya, UMNO mempunyai falsafah yang membolehkannya membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. Kerana UMNO tidak terlalu ekstrim, UMNO dapat membentuk satu rangka kerjasama dengan lain-lain kaum dan parti-parti politik di Malaysia. UMNO mengutamakan keamanan dan tidak suka kepada keterlaluan. UMNO menghormati dan memegang kuat kepada konsep dan amalan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

        Oleh itu selaku sayap bongsu dalam UMNO kita semua perlu menjaga segala yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu. Segalanya ini menjadi tanggungjawab kita selaku pewaris pemimpin dalam UMNO. Bukan kecil tugas dan tanggungjawab kita selaku pemimpin muda, tetapi ini lah yang perlu kita jaga. Segala jerih payah usaha pemimpin terdahulu perlu kita jaga dan pertahankan. Walaupun kita adalah sayap paling muda, tetapi usia 12 tahun cukup matang untuk kita semua berjuang demi membela parti dan rakyat. Kita tidak lagi bertatih tetapi sudah boleh berlari seiring dengan abang dan kakak kita.

        Sementelah tahun ini merupakan tahun pemilihan, juga tahun terakhir saya selaku pemimpin kepada adik-adik semua, saya ingin berpesan kepada adik-adik semua, jalanilah pemilihan ini dengan sebaik-baiknya. Tidak kira pemilihan di peringkat Pergerakan Puteri UMNO Bahagian atau Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ia perlu bertanding secara sihat, dan saksama. Saya amat berharap pertandingan ini berlangsung dalam keadaan tersusun dan telus, tidak ada isu-isu remeh menjatuhkan kredebiliti pemimpin dalam Pergerakan Puteri UMNO.

Saya juga ingin berpesan kepada adik-adik agar tidak ada budaya memburuk-burukan sesama sendiri, sesama calon yang bertanding. Kesemua calon yang bertanding harus mengamalkan sikap profesional dan menampilkan sifat kepimpinan dalam diri masing-masing dan dipilih atas kelebihan yang ada pada diri sendiri. Saya juga ingin berpesan agar-agar adik-adik semua bertanding adalah demi perjuangan kepada parti amnya dan Pergerakan Puteri khsusnya, bukan demi kepentingan diri sendiri. Hal ini kerana perjuangan dalam UMNO adalah demi kelangsungan survival bangsa Melayu, bukan untuk individu.

Saya amat berharap siapa pun Ketua yang bakal adik-adik semua pilih, legasi kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO dapat diteruskan ke tahap yang lebih baik dan peranan Pergerakan Puteri dalam UMNO terus dekat dengan masyarakat.

Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih buat adik-adik semua yang telah memberi sepenuhnya komitmen tanpa berbelah bagi sepanjang saya menjadi Ketua, terutama semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Adik-adik semua telah menjalankan tanggungjawab sebagai jentera parti dengan sangat baik.

Akhir kata, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf selama lima tahun saya menjadi Ketua kepada adik-adik semua sekiranya mempunyai kekurangan dan khilaf. Sesungguhnya saya manusia biasa yang telah cuba melakukan terbaik dengan segala kudrat dan kemampuan saya bersama barisan kepimpinan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2009 – 2013.

Selamat Bersidang & Selamat Memilih buat semua,

Titian perjuangan pasti tidak selalu indah, pasti jurang likunya terbentang luas. Tetapi lalui ia dengan hati penuh cekal dan tabah.

Rosnah ARS

No comments:

Post a Comment