Pages

Friday 11 October 2013

Salam Aiidil Adha

Assalammualaikum WBT dan Salam 1Malaysia

          Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan kita peluang untuk menyentuh Aidil Adha kembali pada tahun ini. Bagi yang diberikan rezeki menjadi tetamu Allah, saya mengucapkan jutaan tahniah, semoga mendapat haji yang mabrur. Bagi yang tidak, tidak mengapa. Sesungguhnya seluruh kehidupan adalah ibadah, dan seluruh bumi adalah mihrab, kita laksanakan ibadah-ibadah lain seperti berkorban, puasa 9 Zulhijjah dan sebagainya untuk meningkatkan pahala dan memperkemaskan peribadi kita.InsyaAllah.
          Sesungguhnya Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha membawa erti yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, mengambil sempena Umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, Mekah. Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Peristiwa itu sebenarnya satu simbolik kepada umat Islam mentaati Allah dengan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkanNya.
          Pada hakikatnya, pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas.  Memperkatakan mengenai erti pengorbanan, dalam masyarakat umat Islam hari ini makna pengorbanan amat luas dan mendalam memandangkan terlalu banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s memberi makna besar kepada seluruh umat Islam dan ia memperlihatkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri.
          Namun begitu dalam kehidupan hari ini, pengorbanan mempunyai erti kata yang lebih luas. Hal ini termasuklah pengorbanan antara seorang manusia dengan manusia yang lain dan secara individu, umpamanya pengorbanan isteri terhadap suami dan anak-anak, anak terhadap kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa yang sanggup berkorban demi anak-anak tercinta. Namun dalam kehidupan hari ini yang kebanyakannya terlalu mengejar kemewahan dan kepentingan diri, masih adakah yang sanggup melakukan dan menaburkan pengorbanan semata-mata kerana Allah S.W.T.
          Dalam menjana pembangunan dan kemajuan hidup, kita sewajarnya menjadikan peristiwa korban itu sebagai inspirasi bagi memajukan kehidupan. Berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan.
          Ibadat korban yang dituntut oleh Islam bertujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan mematuhi segala suruhanNya. Peristiwa korban ini merupakan satu detik kejadian yang dapat ditanam oleh semua manusia dari semua peringkat usia dan latar belakang serta ilmu pengetahuan mereka.
          Dengan kata lain semangat berkorban adalah tuntutan paling besar sama ada dalam lingkungan keluarga, masyarakat mahupun, agama bangsa dan Negara.

Semarakkan Ikhlas Pengorbanan
Hikmah Besar Sebuah Perjuangan

Salam Aidil Adha buat semua
Rosnah Abdul Rashid Shirlin

#Calon10AhliMajlisTertinggi
#Calon09ExcoPergerakanWanitaUMNOMalaysia



No comments:

Post a Comment