Assalamualaikum,
Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia
Masa terus berdetik, berlalu tanpa
menunggu sesiapa. Begitu pantas tahun 2012 melewati kita. Kedatangan tahun baru
2013 kita sambut dengan penuh kesyukuran ke hadrat ALLAH s.w.t kerana
dipinjamkan sedetik lebih umur. Tahun 2012 pula kita lepaskan pergi dengan
seribu pengajaran. Setiap peristiwa - manis dan indah, masam dan pahit - yang
dilalui biarlah menjadi peringatan dan amaran. Bahawa, sebagai hambaNYA kita
sentiasa diuji olehNYA untuk menentukan tahap keimanan kita semua terhadapNYA.
Sesungguhnya, apa jua yang telah
dikecapi sama ada pangkat atau imbuhan, anugerah atau sanjungan, zuriat atau
kejayaan maupun musibah atau kekecewaan adalah ujianNYA jua.
Tahun 2013 akan menghadapkan kita
semua dengan ujian dan cabaran baru.Tahun 2013 ini akan menyaksikan pilihanraya
umum paling mencabar. Namun, tiada jalan mudah, semua cabaran ini harus
dihadapi dengan dada yang lapang dan minda yang terbuka. Kita harus tetap
berjuang demi survival bangsa.
Marilah kita memasuki tahun baru 2013
dengan penuh tawadhuk dan insaf. Pertama, marilah kita pulihkan diri dari apa
jua kelemahan dek kerana kealpaan sepanjang tahun 2012. Kedua, marilah kita
menghadapi setiap cabaran itu dengan persediaan yang cukup, sentiasa bersedia
memberi sumbangan. Dan ketiga, marilah kita berazam dan bertekad untuk menjadi
insan, khususnya warga kerja, yang berjaya dan mulia.
Selamat
Menyambut Tahun Baru Masihi 2013.
Rosnah
ARS
No comments:
Post a Comment