Pages

Thursday 6 June 2013

Salam Israk Mikraj 1434 Hijrah


Assalammualaikum & Salam 1Malaysia

Hari ini 06 Jun 2013 bersamaan dengan 27 Rejab 1434 Hijrah. Dalam sejarah umat Islam, pada tarikh ini telah berlaku peristiwa yang menakjubkan dan menunjukan kebesaran Allah SWT. Pada tarikh ini, telah berlaku peristiwa israk mikraj. Saya kira tidak perlu saya ceritakan sejaranya kerana saya yakin dan pasti sangat ramai yang mengetahuinya. Namun, seperkara yang mahu kita semua renungkan sempena peristiwa Israk Mikraj. Kita semua mengetahui bahawa peristiwa Israk Mikraj merupakan perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh. Maka, seperkara yang perlu kita ketahui adalah perkara yang terjadi kepada Rasul adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia. Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.

Namun begitu Rasulullah S.A.W. menyahut cabaran Abu Jahal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah S.A.W. ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah S.A.W. menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya. Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Keberanian Rasulullah s.a.w. memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam. Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.

Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran. Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.

Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh. Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.

Hubungan dengan Allah s.w.t. ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita. Semoga kita semua menjadi lebih baik setiap hari.

 

Salam Israk Mikraj

Rosnah ARS

No comments:

Post a Comment