Thursday, 11 July 2013

Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum wbt dan Salam 1 Malaysia
Sidang pembaca yang saya hormati sekalian. Esok merupakan hari kedua bagi umat Islam  untuk menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa setiap ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah swt mempunyai pelbagai hikmah dan kelebihan kepada hamba-Nya sendiri dan pelbagai hikmah dapat kita perolehi di dalam ibadah puasa ini.
Pertama, Merapatkan diri kita kepada Allah SWT. Di mana Umat Islam dikehendaki untuk mengawal nafsu makan, minum serta perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa. Maka ini dapat menyuburkan perasaan tunduk serta patuh kepada Allah SWT dalam melaksanakan perintahnya. Maka Ketaqwaan ini adalah diantara hikmah dan nikmat yang diperolehi daripada melaksanakan ibadah puasa.
Kedua, Pembersihan Jiwa. Kita dapati seseorang yang berada di dalam kekenyangan mudah untuk bersifat malas dan menjadikan mereka ini lalai dan leka di dalam kehidupan seharian. Maka ibadah puasa yang disyariatkan ini akan membantu mengawal nafsu mereka, dengan pengawalan nafsu tersebut maka ia akan menyuburkan sifat-sifat positif yang ada di dalam jiwa mereka.
Ibadah berpuasa juga mendidik umat islam supaya lebih bersifat kasih sayang diantara satu sama lain, diantara keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibadah berpuasa mendidik kita agar mengingati mereka yang hidup di dalam serba kekurangan. Ibadah puasa tidak mengenal erti kaya atau miskin, di mana setiap umat islam tak kira siapa diwajibkan untuk berpuasa di bulan ramadhan. Ibadah ini akan menimbulkan sifat kasih sayang di dalam diri seseorang dan ditambah pula dengan amalan bersedekah serta amal kebajikan yang lain.
Harapan saya kepada seluruh umat islam di Negara kita, marilah kita bersama-sama tekun dan tawaduk di dalam menyempurnakan ibadah puasa di dalam bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita akan menjadi seorang hamba Allah yang lebih taat dan bertaqwa.

Dengan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak, dan Selamat Menunaikan Ibadah Berpuasa .

Rosnah ARS


No comments:

Post a Comment