Pages

Wednesday 21 August 2013

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Saya kira beberapa hari ini keadaan sedikit panas terutama rakyat Sabah dan Sarawak mengenai kenyataan saya semasa Taklimat Jalan Raya Pan Borneo pada 16 Ogos 2013 lalu berkenaan status 93 peratus jalan pan borneo di Sabah dan Sarawak telah siap. Berlaku sedikit kekeliruan atas kenyataan tersebut. Terdapat banyak pihak yang mempertikaikan status 93 peratus itu sendiri dan juga tentang jalan 4 & 6 lorong serta istilah ‘highway’.

Untuk makluman semua, Jalan Pan Borneo adalah jalan raya SEDIA ADA yang bermula dari Sematan Barat Sarawak dan melalui bandar-bandar utama seperti Lundu, Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas di Sarawak dengan melalui Negara Brunei  seterusnya menghubungkan Sindumin di sempadan Sabah Sarawak, Sipitang, Beufort, Kota Kinabalu, Ranau,Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kalabakan,Sapulut,Nabawan, Keningau dan berakhir di Kimanis di negeri Sabah. Jumlah panjang jalan raya ini ialah 2,239 KM tidak termasuk ‘missing link’ daripada Kalabakan – Serudong di sempadan Sabah / Kalimantan sepanjang 50 km.

Maka, daripada jumlah panjang 2,239 KM itu 2094 KM atau 93.5 peratus telah pun dinaiktaraf daripada jalan tanah atau jalan gravel ke tahap berturap. Kenyataan 93.5 peratus yang disebutkan tempoh hari adalah merujuk kepada kerja menaik taraf jalan-jalan sedia ada kepada jalan berturap.

Selain itu kenyataan tentang jalan 4 atau 6 lorong itu adalah merujuk kepada 248 KM atau 11.08 % telah pun dinaiktaraf ke ‘dual carriageway’ 4 lorong atau 6 lorong seperti jalan KK-Kepayan-Petagas (6 lorong), Jalan Kuching Airport – Jejambat di Bulatan Kenyalang (6 lorong), Jalan Kuching Serian (4 lorong),Jalan Petagas-Putatan-Lok Kawi (4 lorong dan sedang dinaiktaraf ke 6 lorong).

Kini, kerajaan sedang merancang untuk menaik taraf baki 1,991 KM Jalan Raya Pan Borneo ini ke tahap ‘dual carriageway’ 4 lorong atau 6 lorong secara berperingkat dalam tempoh 12 tahun hingga tahun 2025 dengan anggaran kos RM 22 billion.

Seperkara yang menjadi kekeliruan adalah soal istilah ‘highway’ yang diterjemah menjadi lebuhraya. Maka apabila istilah lebuhraya digunakan, persepsi masyarakat pastilah merujuk kepada lebuhraya seperti di Semenanjung. Hakikat sebenarnya, maksud ‘highway’ itu adalah merujuk kepada jalan utama. Dalam isu Pan Borneo istilah yang digunakan oleh Kementerian Kerja Raya adalah Jalan Raya Pan Borneo yang merujuk kepada jalan-jalan utama sedia ada tetapi dinaiktaraf.

Saya amat berharap pihak-pihak tertentu boleh merujuk perkara ini kepada pihak yang sepatutnya iaitu Kementerian Kerja Raya atau Jabatan Kerja Raya Sabah atau Sarawak, bukan membuat justifikasi sendiri.Pihak Kementerian Kerja Raya dan JKR Sabah dan Sarawak bersedia untuk memberi penjelasan mengenai maklumat yang tepat.

Rosnah ARS




No comments:

Post a Comment