Pages

Saturday 24 August 2013

Pemilihan UMNO 2013

Pemilihan UMNO akan berlangsung pada Oktober 2013. Sebagai sebuah parti yang kukuh dan matang, prinsip demokrasi kekal menjadi akar yang setia menunjangi pertumbuhan pucuk-pucuk baru dalam pohon kepimpinan yang sedia ada. Disamping memperkasa pengalaman pemimpin yang sedia ada,ruang untuk pemimpin baru berkhidmat dan berjuang juga terbuka dengan adilnya.
Atas semangat ini, saya dengan rasa rendah hati  menawarkan diri bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Selepas bermuzakarah dan mempertimbang segala sudut pandang, keputusan ini di ambil atas rasa penuh tangungjawab dan kesediaan saya untuk terus memperjuangkan manhaj perjuangan parti.
Sebagai muka baru, saya berjanji untuk memenuhi ruang dan peluang ini dengan penuh amanah, dedikasi, setia serta bertanggungjawab terhadap Pergerakan Wanita UMNO khususnya dan UMNO secara amnya.
InsyaAllah, saya yakin dan percaya, atas izin Allah dengan laluan pengalaman  saya  dalam politik bermula sebagai ahli Pergerakan Puteri kepada Ketua Pergerkan Puteri UMNO Sabah kemudian Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sehinggalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah memberi saya keazaman untuk terus bersetia dan bersedia  dalam perjuangan parti. Seperti mana saya bermula dari bawah dalam Pergerakan Puteri, begitulah jua saya memilih jalan yang sama untuk  berkhidmat dari bawah sebagai Exco Pergerkan Wanita UMNO kerana apa yang penting pada saya adalah nilai istiqamah dalam perjuangan.
Sejujurnya keputusan ini juga saya ambil kerana tanggungjawab untuk saya meneruskan perjuangan yang sedia ada kepada parti, memperkukuhkan saf kepimpinan Wanita serta belajar meneroka jalan perjuangan yang lebih berdaya, kompeten serta berani selari dengan nama Pergerakan Wanita UMNO yang gah sebagai sayap kukuh parti.
     Untuk tujuan itu, saya menyokong kepimpinan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil kerana percaya pada dinamisme kepimpinan beliau dalam membawa Pergerakan wanita UMNO sebagai sebuah sayap parti yang berani dan di hadapan dalam membela kebajikan serta perjuangan di segenap isu wanita. Saya bersedia untuk bersama saf kepimpinan Wanita berjuang menganjak nilai dan martabat wanita, menggerakkan transformasi yang proaktif dan pastinya yang lebih utama mendahulukan perjuangan menjadikan Parti keramat ini kekal relevan kepada perjuangan bangsa.
Sebagai pemimpin Pergerakan Puteri UMNO yang menawarkan diri bertanding dalam Pergerakan Wanita UMNO, saya melihat ini sebagai satu transisi semulajadi yang mampu memperkasa parti. Untuk setiap ahli Puteri yang telah melebihi had usia, maka secara automatik mereka akan diserap sebagai ahli Wanita dan saya percaya setiap seorang dari mereka bersedia untuk terus sedia, setia dan berkhidmat kepada parti. Inilah lambang keterbukaan dan kematangan UMNO sebagai sebuah parti yang sentiasa di hadapan dalam membina wasilah perjuangan membela wanita.
  Dalam roh dan semangat perjuangan ini juga, Pergerakan Wanita adalah umpama ibu kepada parti yang pastinya boleh menerima anak yang telah dewasa ke dalam Pergerakan Wanita untuk perlahan-lahan diajar dan dibentuk menjadi pejuang parti yang matang seperti mereka. Sebagai seorang anak, kesemua ahli Puteri yang berhijrah ke Wanita bersedia untuk belajar ‘resipi perjuangan dari air tangan ibu’ melalui jalan pengkongsian kudrat dan pengalaman.
    Jalinan yang baik antara Pergerakan Wanita UMNO dan Pergerkan Puteri UMNO yang sedia tersimpul erat kini akan menjadi tali pengikat perjuangan parti yang kekal bertaut dan tidak akan putus sampai bila-bila.
   Sekali lagi dengan rasa rendah hati serta dengan keizinan dari Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa, saya menawarkan khidmat bakti saya untuk bertanding dalam jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin

No comments:

Post a Comment