Tuesday, 31 July 2012

Perletakan Jawatan Dato’ Lajim dan Dato’ Wilfred Bumburing

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Alhamdulilah hari ini kita sudah berada di 11 Ramadhan 1433 Hijrah,kita sudah hampir ke pertengahan ramadhan. Beberapa hari ini kesihatan saya kurang baik. Tetapi hari ini alhamdulilah saya merasa lebih baik.

Beberapa hari ini juga kita dihadapkan dengan berita politik mengenai perletakan jawatan dua orang pemimpin di Sabah. Sebagai salah seorang pemimpin di Sabah saya merasakan tindakan Dato’ Lajim ke atas perletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beufort dan Pengerusi Barisan Nasional Beufort sebagai tindakan yang dibuat atas kepentingan diri sendiri. 


Alasan beliau yang kononnya meletakan jawatan demi kepentingan rakyat Sabah adalah propaganda semata-mata. Hal ini kerana jika benar untuk rakyat Sabah, mengapa selama berpuluh tahun memegang jawatan tidak berjuang habis-habisan utk rakyat Sabah, hanya selepas keluar baru lah mahu bercakap tentang perjuangan untuk rakyat. Sedangkan semasa beliau dalam kapasiti memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri malah sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan terdapat banyak perkara yang beliau boleh dilakukan untuk rakyat Sabah, malangnya semasa memegang jawatan tersebut beliau tidak pernah suarakan apa-apa untuk rakyat Sabah. Beliau sebenarnya tidak mampu menafikan terdapat sangat banyak perubahan dan kemajuan yang dibawa oleh Barisan Nasional terhadap Negeri Sabah.


Saya juga melihat pengumuman dan perletakan jawatan oleh Lajim Ukin ini sebenarnya tidak mendatangkan kesan yang besar kepada parti dan kerajaan kerana Sabah mempunyai barisan pemimpin yang  mantap dan bersiap sedia untuk mengganti sebarang pemimpin yang tersasar daripada perjuangan. Malah sebenarnya kita berasa lega kerana pemimpin yang tidak mempunyai jati diri dan perjuangan yang kukuh ini dengan rela hati mengundurkan diri dari parti. UMNO tidak kurang apa-apa atas perletakan jawatan beliau.

          Namun, tindakan beliau yang tidak mahu meletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan alasan menyerahkannya kepada YAB Perdana Menteri saya sifatkan sebagai tindakan orang pengecut. Tindakan ini sebenarnya adalah kerana mahu meraih populariti agar beliau diberi perhatian oleh media dan masyarakat. Apabila sudah letak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Beufort, maka sudah pasti beliau tidak yakin dengan parti. Jika beliau benar-benar berani dan sememangnya jelas mengenai pendirian perjuangan beliau maka beliau perlu lepaskan jawatan dalam kerajaan dan keluar dari UMNO tanpa perlu menunggu keputusan YAB Perdana Menteri dan Majlis Tertinggi.

          Mengenai tindakan Dato’ Wilfred Bumburing yang mengikut jejak langkah Dato’ Lajim ini juga saya sifatkan sebagai pengkhianat dan mementingkan diri sendiri. Malah alasan beliau yang dipaparkan di dalam blog-blog bahawa perletakan jawatan beliau adalah kerana tidak boleh menerima pentadbiran BN Sabah dan tidak berpuas hati dengan pentadbiran pusat adalah alasan remeh. Hal ini kerana sebagai seorang pemimpin besar di dalam parti beliau sepatutnya sama-sama menyelesaikan masalah tersebut, bukannya mengambil tindakan meletakan jawatan dan menubuhkan parti lain serta menyertai parti lawan. Namun, tidak kira Barisan Nasional Pusat atau Barisan Nasional Sabah tetap akan kuat tanpa beliau, pemimpin seperti beliau yang lari dari masalah adalah pemimpin yang penakut dengan cabaran. Saya tidak melihat perletakan jawatan beliau di Tuaran akan memberi impak besar terhadap kedudukan BN di Tuaran mahu pun Sabah. Hal ini kerana rakyat Sabah cukup matang dan bijak untuk membezakan pemimpin yang ikhlas berjuang demi rakyat atau kepentingan dirinya sendiri.


Semoga kita semua ditetapkan hati dalam berjuang demi agama, bangsa dan Negara. InsyaAllah.

Rosnah ARS.



No comments:

Post a Comment