Pages

Thursday 30 May 2013

KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.


Hari ini dan esok merupakan Hari Perayaan Pesta Kaamatan adalah perayaan yang disambut bertujuan untuk merayakan kejayaan petani dalam memperolehi hasil tuaian padi dan menunjukkan rasa penghargaan atas rezeki yang diperolehi oleh petani. Perayaan ini diilhamkan daripada sambutan kejayaan masyarakat Kadazan Dusun dahulu kala yang akan menyambut hari gembira sebaik sahaja selesai menuai padi.

Sekadar berkongsi cerita mengenai sejarah Sambutan Pesta Keamatan. Cerita yang saya dengar sejak saya kecil. Perayaan ini bermula dengan cerita Legenda Humidon iaitu seorang gadis yang sanggup mengorbankan dirinya demi memastikan kelangsungan hidup kaumnya. Menurut cerita lama, setelah beliau mati dan ditanam, mayat beliau telah mengeluarkan pelbagai benih yang mendatangkan hasil dan salah satunya adalah padi. Maka masyarakat Kadazan Dusun percaya padi yang ada pada hari ini berasal dari pengorbanan Humidon.

Walaupun cerita ini hanyalah legenda masyarakat dahulu kala, tetapi ia harus dijadikan satu pengajaran dan keinsafan terhadap kita bahawa untuk kita meneruskan kehidupan, kita haruslah sanggup berkorban. Kita juga perlu bekerja keras dan gigih berusaha untuk kejayaan kita dan masa depan bangsa, tanah air dan keluarga kita. Perayaan ini bukan hanya sebagai lambang kejayaan tetapi juga melambangkan perpaduan dan jati diri kita. Tidak ada yang mudah untuk kita berjaya dan kejayaan itu hanya boleh diperolehi dengan semangat kental tidak mudah mengalah, bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh serta semangat bersatu padu di bawah payung yang sama.

Selain itu juga, Pesta Keamatan ini memberi kepelbagaian kepada kita kerana keunikan budayanya. Apatah lagi untuk rakyat Sabah dan Sarawak. Walaupun kita berasal dari latar belakang budaya, adat resam, pertuturan dan etnik yang berbeza tetapi kita bangga dengan perpaduan dan kekuatan kita.Maka peliharalah semangat ini sebagaimana kita memelihara semangat Kaamatan.

Saya menyeru kepada semua agar pelihara keamanan yang telah kita kecapi bersama. Keamanan ini adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Jangan cemari ia dengan keangkuhan emosi kita.


“Kita Satu Dalam Kepelbagaian dan Kita Pelbagai Tetapi Satu”


Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2013 kepada masyarakat Kadazan Dusun.


“ KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN 2013 ”

 

Rosnah ARS

No comments:

Post a Comment