Pages

Wednesday 30 May 2012

Wawancara bersama Utusan


Bagaimana Datuk melihat kekuatan dan sumbangan Pergerakan Puteri UMNO dalam berjuang bersama-sama untuk menguatkan parti UMNO.
Saya melihat Pergerakan Puteri UMNO dalam usia 11 tahun penubuhannya benar-benar memahami perjuangan UMNO. Kematangan dan kedewasaan Pergerakan ini sudah berada ditahap yang boleh dibanggakan. Kekuatan Puteri adalah berbeza dengan dua sayap yang lain. Puteri mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam berjuang untuk parti. Jika dilihat tujuan asal penubuhan Puteri sebagai salah satu sayap utama parti ialah menjadi perintis kepada perubahan terhadap dua perkara, iaitu Teknologi Maklumat dan Generasi Muda. Maka, kedua-dua elemen ini kita bangunkan sebaik mungkin sebagai asas dan matlamat perjuangan untuk menguatkan parti. Dan hari ini Pergerakan Puteri UMNO jelas di hadapan dalam menyediakan keperluan teknologi maklumat dalam arus media baru sehingga kita telah dikenali sebagai pemegang kunci azimat maklumat maya. Pengenalan ‘Cyber Troopers’ adalah lambang betapa kita di hadapan dalam usaha merakyatkan penggunaan teknologi dan semua maklumat ini diurus tadbir dengan berhikmah. Puteri juga sentiasa terbuka dalam memahami dan mendekati secara berhikmah keperluan dan kehendak generasi muda. 

Sumbangan Pergerakan ini kepada UMNO adalah merujuk kepada banyak perkara. Pergerakan ini berusaha secara total dalam melaksanakan pelbagai program mendekati rakyat demi memastikan UMNO kekal sebagai juara di hati rakyat, UMNO kekal sebagai parti yang terus membela rakyat. Melalui 15 ikon utama program, Pergerakan ini gigih mendekati rakyat pelbagai bangsa dan golongan tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah. Pergerakan ini benar – benar parti UMNO kekal menjadi parti yang terus memerintah Negara.

Cabaran Pergerakan Puteri UMNO dalam menangani puak liberal yang terdiri dalam kalangan orang muda.
Cabaran dalam berjuang itu sentiasa ada, kerana itulah resam berjuang.Dalam menangani puak liberal ini, cabaran yang dihadapi ialah kesukaran untuk mereka mempercayai apa yang benar. Hal ini kerana kebanyakan mereka yang merupakan generasi muda yang masih mentah, sangat mudah terpengaruh dengan permainan politik pihak lawan. Namun, Pergerakan Puteri UMNO tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha mendekati mereka melalui pelbagai kaedah cara. Pergerakan Puteri tidak pernah melihat puak ini sebagai golongan yang perlu dijauhi atau dibiarkan, tetapi perlu didekati secara diplomasi.

Bagaimana Pergerakan Puteri UMNO setakat ini memberi penjelasan tentang apa-apa isu berbangkit terutamanya melalui laman sosial?
Pergerakan Puteri UMNO yang sememangnya berperanan sebagai jentera IT di dalam parti aktif menangkis apa-apa isu berbangkit. Pergerakan ini telah menubuhkan Cyber Troopers yang mana pasukan ini bukan sahaja dilatih bertahan daripada serangan pembangkang tetapi juga diajar teknik menyerang pembangkang. Pasukan sentiasa diberi latihan dan dipantau dari semasa ke semasa. Melalui program Cyber Troopers ini kita telah memiliki 532 bolggers terlatih, 1,992 506 pengunjung kepada laman sosial, laman web dan blog yang kita bangunkan, 11,943 pengikut blog, 600 orang kumpulan utama blogger yang menyokong perjuangan kita dan sehingga ke hari ini. Ahli Pergerakan Puteri juga sentiasa peka terhadap isu berbangkit dan mencuba sepantas mungkin untuk memberi penjelasan terhadap segala isu. 

Bagaimana Pergerakan Puteri menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO, dan setakat ini berapakah jumlah keahlian Pergerakan Puteri UMNO?
Pergerakan Puteri UMNO menjalankan pelbagai aktiviti yang mampu menarik golongan muda untuk dekat dengan UMNO. Misalnya, melalui aktiviti sukan Pergerakan ini telah menganjurkan Kejohanan Futsal Wanita terbuka yang telah disertai oleh 96 pasukan yang kesemuanya adalah golongan wanita muda. Kemudian Pergerakan ini juga menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Terbuka yang juga disertai oleh golongan muda bukan sahaja wanita tetapi golongan lelaki. Pergerakan Puteri UMNO juga menganjurkan sesi ramah mesra bersama golongan muda yang aktif dalam bidang pengucapan awam, saya sendiri selaku pemimpin di dalam Pergerakan ini beramah mesra dengan mereka secara dekat tanpa batas dan protokol.

Golongan muda ini perlu kita dekati dengan pendekatan yang mereka suka, mereka mahu suara dan idea mereka diraikan. Kita perlu memahami minat dan jiwa mereka, jangan sampai mereka fikir kita adalah penentang mereka. Jika mereka salah kita perlu tegur mereka dengan cara berhikmah bukan mengecam mereka tanpa usul periksa. Kita mahu mereka ini menyertai kita bukan sekadar untuk meraih undi dan pangkah kita, tetapi kita mahu mereka bersama-sama dalam barisan pejuang kita. Dan kita juga harus sedar bahawa zaman muda adalah zaman untuk mengeksplorasi segala perkara ditambah dengan akses pada media baru yang luas dan tanpa batas. Mereka berinteraksi dengan ribuan individu lain di alam maya, yang hadir dgn pelbagai pandangan dan persepsi, dan ini menjadikan mereka berfikir dan berdiri dengan pendirian mereka sendiri. Kita harus hormati hak mereka dan terbuka memimpin dengan matang dan berhikmah agar mereka menggunakan hak mereka di jalan yang betul. Puteri akan terus mendekati kelompok ini untuk dibawa masuk ke dalam barisan perjuangan kita.
Sehingga 26 April 2012, jumlah keahlian Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ialah seramai 383,805 orang.

Pada pendapat Datuk, bagaimana mahu menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang menarik untuk disertai golongan muda.
Pada pandangan saya sebenarnya UMNO merupakan sebuah parti yang cukup relevan untuk golongan muda. Namun, perjuangan UMNO itu sendiri perlu sentiasa remaja dan muda selalu. Para pemimpin tidak kira di peringkat mana sekalipun perlu lebih terbuka dan kreatif demi memastikan parti kekal menarik dengan orang muda. Pemimpin parti perlu selalu mengemaskini corak perjuangan agar selari dengan golongan muda. Hal ini kerana, golongan muda hari ini tidak sama dengan golongan muda 10 tahun lalu maka rentak berjuang juga adalah tidak sama. 

Golongan muda ada yang melihat parti UMNO ini hanya untuk golongan veteran kerana rentak perjuangan yang tidak sesuai dengan jiwa dan kehendak mereka. Mereka merasakan menyertai UMNO akan kelihatan kuno dan mereka tidak ‘up to date’. Atas sebab itulah UMNO perlu remaja dan muda selalu agar golongan muda tidak melihat parti UMNO sebagai parti untuk orang tua. Kita perlu peka terhadap perkembangan mereka, jangan sesekali menjauhi mereka hanya kerana mereka tidak sependapat dengan kita, menganggap mereka musuh apabila mereka mengkritik idea kita. Perkara-perkara sebegini yang menyebabkan mereka semakin jauh dengan kita, mereka merasakan ada jurang antara kita dan mereka.

Tetapi saya dapat melihat UMNO dibawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Presiden ini remaja dan muda selalu. Pendekatan yang digunakan mampu menarik golongan muda menyertai UMNO dan suka kepada UMNO. Kaedah kepimpinan YAB Dato’ Sri yang terbuka menjadikan orang muda merasakan parti UMNO adalah parti yang mampu menunaikan hasrat dan permintaan mereka. Secara berperingkat transformasi UMNO semakin remaja dan muda dibawah kepimpinan beliau. Pendekatan yang digunakan juga adalah disesuaikan dengan golongan muda. Langkah ini dilihat mampu meningkatkan partisipasi golongan muda kepada UMNO.

No comments:

Post a Comment